AM

Nanta Ingatkan JKKK Jangan Salah Guna Peruntukan, Tekan Aspek Tatakelola Betul

14/09/2025 07:34 PM

KAPIT, 14 Sept (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Alexander Nanta Linggi mengingatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Song agar tidak menyalahgunakan peruntukan yang disalurkan kerajaan kepada mereka.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata JKKK perlu memastikan bantuan digunakan sebaik mungkin demi manfaat masyarakat setempat, selain menekankan keperluan aspek tatakelola yang betul termasuk penyediaan laporan perbelanjaan.

“Bantuan yang kita berikan adalah untuk kesejahteraan masyarakat. Gunakan ia secara berhemah, laporkan penggunaannya dengan telus dan jangan sesekali disalahgunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek JKKK dan Insentif Pelajar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Katibas, Lidam Assan di Song hari ini.

Sebanyak RM448,000 disalurkan kepada 45 JKKK di kawasan Song sempena majis itu, dengan kawasan di bawah jagaan Penghulu Vincent Jugah menerima RM174,500 manakala kawasan di bawah Penghulu Sumpeng Jinggai menerima RM273,500.

Bantuan berkenaan disalurkan dalam bentuk RM500 bagi setiap pintu (keluarga) rumah panjang tanpa ada yang tercicir daripada senarai penerima.

Nanta turut menyampaikan insentif berjumlah RM52,500 kepada 105 pelajar dari daerah Song yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan berkenaan turut menerima bantuan.

Beliau juga menggesa generasi muda khususnya pelajar di Song dan Kapit agar merebut peluang daripada dasar kerajaan negeri yang akan membiayai sepenuhnya pengajian anak Sarawak di universiti atau IPT di Sarawak mulai tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Nanta berkata projek pembinaan jambatan Ulu Katibas di Sungai Bangkit dengan kos RM35 juta sudah ditender, manakala projek pembinaan jalan sepanjang kira-kira tujuh kilometer dengan kos RM70 juta akan ditender dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan