BUTTERWORTH, 14 Sept (Bernama) -- Persiapan persembahan untuk sambutan Hari Malaysia 2025 pada Selasa ini di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, di sini kini mencapai tahap 90 peratus, kata Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris.
Beliau berkata sambutan itu diyakini meriah khususnya dengan penglibatan peserta daripada badan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang yang menjadi tulang belakang persembahan tahun ini.
Mohd Amran berkata persembahan khas “Rumpun MADANI” bakal menjadi tarikan utama sambutan dengan mengetengahkan kepelbagaian budaya masyarakat dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Persembahan ini bukan sahaja menampilkan elemen seni budaya Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak, tetapi juga menjadi simbolik kepada perjuangan kemerdekaan serta semangat perpaduan yang membentuk negara Malaysia.
“Ia juga kombinasi yang melambangkan kesepaduan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, sekali gus mencerminkan keharmonian dan semangat setia kawan rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas sesi latihan persembahan di sini hari ini.
Mohd Amran berkata persembahan pembukaan turut menonjolkan identiti Pulau Pinang sebagai tuan rumah, sekali gus memberikan impak positif dalam menyemarakkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia.
“Saya mengajak orang ramai hadir ke sambutan Hari Malaysia 2025 untuk menyaksikan persembahan ini secara langsung,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati pelbagai pihak sibuk melakukan kerja-kerja akhir bagi mendirikan reruai pameran yang bakal menampilkan pelbagai pengisian menarik.
Ia termasuk pameran daripada Kerajaan Pulau Pinang bertemakan Menelusuri Zaman, pameran foto khas Hari Malaysia oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Orang awam boleh mengunjungi reruai berkenaan seawal 9 pagi Selasa yang menyediakan pelbagai aktiviti interaktif seperti pameran pakaian dan peralatan tradisional, demonstrasi makanan tradisional, aktiviti mewarna dan kuiz.
Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Acara bakal dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air pelbagai kaum termasuk Ratu Rock negara Ella bersama Suki Low, Roshini Balachandran serta artis yang diterbangkan khas dari Sabah dan Sarawak iaitu Dabra Sia dan Rezza Shah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial