SUKAN

Kemalangan Ranap Impian Hakim Danish Bergelar Naib Juara RBRC 2025

14/09/2025 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Impian pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli untuk menamatkan saingan selaku naib juara Red Bull Rookies Cup (RBRC) 2025 musnah selepas terbabit dalam kemalangan pada selekoh kedua perlumbaan dua pusingan kemuncak di Litar Misano, Itali, hari ini.

Pelumba berusia 18 tahun itu, yang memulakan perlumbaan di petak keenam, dilihat berada dalam kelompok hadapan sebelum motosikal ditungganginya terbabas ketika berbaki lapan pusingan.

Insiden itu menyaksikan Hakim Danish menamatkan musim ketiganya di tempat ketiga keseluruhan dengan 171 mata, dipintas wakil Indonesia, Veda Pratama, yang mengutip 181 mata di belakang juara keseluruhan dari Sepanyol, Brian Uriarte (236 mata).

Bagaimanapun, pencapaian itu tetap membanggakan apabila Hakim Danish muncul sebagai pelumba Malaysia pertama menamatkan musim dalam kelompok tiga terbaik RBRC.

Pelumba kelahiran Terengganu itu sebelum ini menamatkan musim sulungnya di tangga ke-12 pada 2023 dan memperbaiki kedudukan ke tempat keenam tahun lalu.

Sementara itu, pelumba Sepanyol, David Gonzalez, menjuarai perlumbaan kemuncak hari ini dengan kelebihan 0.052 saat di hadapan rakan senegara, Uriarte, manakala Marco Morelli dari Argentina di tempat ketiga.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan