KUCHING, 14 Sept (Bernama) -- Sarawak akan menubuhkan sebuah muzium baharu khusus untuk mempamerkan sejarah pentadbiran negeri itu sejak era Kesultanan Brunei sehingga penyertaan dalam Malaysia, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata muzium berkenaan akan diwujudkan hasil pengubahsuaian sebuah bangunan di Kuching yang akan diumumkan kelak, dengan fokus kepada perjalanan sejarah pemerintahan Sarawak.
“Penekanan adalah dari sudut pemerintahan dan pertimbangan Sarawak bermula sejak Kesultanan Brunei, kemudian ke era Brooke selama 100 tahun, seterusnya zaman koloni dari 1946 hingga 1963, dan selepas itu Malaysia ditubuhkan.
“Muzium ini berteraskan hanya kepada sejarah pentadbiran Sarawak dalam era-era itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Bermalam di Muzium di Muzium Kebudayaan Borneo di sini hari ini.
Beliau berkata usaha itu melengkapkan perjalanan penubuhan muzium-muzium lain di negeri berkenaan, termasuk Muzium Kebudayaan Borneo yang mempamerkan warisan budaya serta Muzium Sejarah Alam semula jadi yang mengetengahkan aspek alam sekitar, teori evolusi dan khazanah biodiversiti.
Abang Johari berkata muzium baharu itu akan dihubungkan dengan arkib negeri yang baharu, yang bakal menyimpan data penting mengenai sejarah, ekonomi, budaya dan pembangunan Sarawak.
“Kami juga sudah mengubah suai beberapa kubu lama sebagai muzium khusus, seperti di Sri Aman yang menekankan tentang ancaman komunis dan perdamaian, serta di Kapit yang memaparkan (perjanjian) keamanan antara masyarakat Iban dan Orang Ulu. Ini menjadi sebahagian daripada jejak kubu yang dibangunkan,” katanya.
Ditanya mengenai tempoh pelaksanaan projek itu, Abang Johari berkata ia dijangka siap dalam tempoh lima tahun kerana memerlukan penyelidikan mendalam dan sokongan akademik bagi memastikan fakta sejarah yang dipamerkan adalah tepat.
“Muzium adalah sesuatu yang berasaskan fakta. Kami perlu buat banyak penyelidikan termasuk dengan pihak Brunei untuk dapatkan kaitan sejarah yang lengkap. Ia ambil masa (untuk disiapkan),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial