ANKARA, 13 Sept (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 64,803 rakyat Palestin maut dalam perang genosid Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, selepas tujuh lagi mangsa meninggal dunia akibat kebuluran di wilayah itu, kata Kementerian Kesihatan pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata sebanyak 47 mayat dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam lepas manakala 205 orang cedera, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa cedera kepada 164,264 orang sejak serangan bermula.
Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan di jalanan kerana pasukan penyelamat tidak dapat menghulurkan bantuan, menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa lima rakyat Palestin terbunuh dan lebih 26 lagi cedera akibat tembakan tentera Israel ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan dalam tempoh 24 jam lepas.
Angka itu menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh ketika mendapatkan bantuan sejak 27 Mei, iaitu ketika operasi kontroversi Yayasan Kemanusiaan Gaza dilancarkan, meningkat kepada 2,484 orang, manakala lebih 18,117 lagi cedera.
Dalam tempoh sama, tujuh lagi rakyat Palestin termasuk dua kanak-kanak maut akibat malnutrisi dan kebuluran, menjadikan jumlah kematian berkaitan kebuluran sejak Oktober 2023 meningkat kepada 420 orang, termasuk 145 kanak-kanak.
Sejak 2 Mac, pihak berkuasa Israel menutup sepenuhnya semua lintasan sempadan Gaza, sekali gus memburukkan lagi penderitaan penduduk Palestin di wilayah itu.
Kebuluran disahkan berlaku di utara Gaza pada pertengahan Ogos dan dijangka merebak ke Deir al-Balah serta Khan Younis menjelang akhir September, menurut Klasifikasi Fasa Keterjaminan Makanan Bersepadu, sebuah badan pemantau kelaparan disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial