AM

Sumbangan Kepada Sekolah Perlu Ikut Garis Panduan - KP Pendidikan

13/09/2025 09:16 PM

PUTRAJAYA, 13 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan semua bentuk sumbangan termasuk tajaan penyaman udara untuk sekolah perlu mematuhi garis panduan sedia ada bagi memastikan penyaluran yang teratur dan keselamatan warga sekolah.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata KPM mengambil perhatian hantaran tular di media sosial melibatkan seorang pempengaruh berkait tajaan penyaman udara untuk sebuah sekolah di Putrajaya.

"Sekian lama, KPM telah menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk syarikat korporat, yayasan dan orang perseorangan untuk tujuan penyelenggaraan institusi pendidikan.

"Walau bagaimanapun, ia perlu dilakukan berdasar kepada garis panduan sedia ada bagi memastikan proses penyaluran sumbangan yang teratur dan keselamatan sekolah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata KPM mengambil tanggungjawab penuh dalam memastikan sekolah adalah selamat dan selesa untuk semua warga sekolah.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab pentadbir sekolah untuk terus memastikan sekolah berada dalam keadaan kondusif.

"Berkenaan dengan situasi di sekolah berkenaan, ia berada dalam tindakan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP). KPM telah menyediakan peruntukan bagi selenggara dan tambah baik fasiliti institusi pendidikan JPWPP," katanya.

Beliau berkata KPM sentiasa berusaha untuk memastikan infrastruktur dan fasiliti terbaik dapat disediakan demi manfaat murid, guru dan seluruh warga pendidikan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan