SAN JOSE (Amerika Syarikat), 13 Sept (Bernama-dpa) -- Apple menangguhkan pelancaran iPhone Air terbaharu di China susulan isu kawal selia berkaitan reka bentuk telefon yang hanya menggunakan eSIM, menurut syarikat itu pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Syarikat telekomunikasi tanpa wayar China perlu mendapatkan lesen kerajaan sebelum menawarkan peranti dengan teknologi eSIM, namun kelulusan masih belum diberikan.
Apple berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pengawal selia dan penyedia perkhidmatan bagi membolehkan iPhone Air dilancarkan “secepat mungkin.”
iPhone Air yang diumumkan pada Selasa dalam acara tahunan pelancaran produk Apple, merupakan pembaharuan reka bentuk terbesar sejak iPhone X pada 2017.
Dengan ketebalan hanya 5.6 milimeter, ia adalah iPhone paling nipis pernah dihasilkan dan menghapuskan sepenuhnya slot kad SIM fizikal.
Sebaliknya, ia bergantung sepenuhnya kepada eSIM yang menurut Apple meningkatkan kecekapan dan memanjangkan hayat bateri.
Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook memberitahu CNBC bahawa penghapusan SIM fizikal memberi ruang untuk bateri lebih besar sambil mengekalkan reka bentuk nipis peranti itu.
Apple pada asalnya merancang membuka prapesanan di China pada Jumaat 2 pagi EST (0600 GMT), dengan jualan bermula 19 Sept.
Namun, laman web Apple China kini menyatakan butiran pelancaran akan “dikemas kini kemudian.”
China Mobile, China Telecom dan China Unicom dijangka menyokong keupayaan eSIM iPhone Air sebaik sahaja kelulusan diperoleh.
Penangguhan ini menyerlahkan ketegangan antara strategi reka bentuk global Apple dengan kawal selia teknologi yang ketat di China.
Sementara itu, iPhone Air akan dilancarkan seperti dirancang di pasaran lain.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial