AM

"Mereka Lebih Memerlukan", Usahawan Sumbang Bantuan SARA Kepada Rumah Kebajikan

13/09/2025 11:29 AM

IPOH, 13 Sept (Bernama) -- Perbezaan agama bukan halangan bagi pasangan suami isteri usahawan menyumbangkan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diterima mereka bagi meringankan beban sebuah rumah kebajikan di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Chang Jiang International Sdn Bhd Foong Choa Mun, 47, dan suaminya, Pengarah Urusan syarikat itu Kong Kin Loong, 48, berkata sumbangan yang diterima lebih bermakna apabila dikongsi dengan golongan yang lebih memerlukan.

Pasangan itu memilih Pertubuhan Kebajikan Cahaya Kasih Kinta di Taman Rapat Setia di sini sebagai destinasi untuk menyalurkan bantuan dengan membeli pelbagai barangan keperluan menggunakan kemudahan SARA kepada rumah kebajikan anak-anak tidak bernasib baik beragama Islam itu.

“Hari ini untuk SARA, kami beli barang untuk diberikan kepada rumah anak yatim. Saya rasa mereka lebih memerlukan barangan itu (barang keperluan) daripada kami, tiada istilah beza agama untuk kita membantu orang memerlukan," kata Foong ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan itu di sini semalam.

Turut hadir bagi menyampaikan sumbangan serupa ialah Eksekutif Projek syarikat tersebut Chan Jin Onn, 50, dan mereka memilih menyumbang keperluan asas seperti telur, beras, minyak, masak, snek, biskut, minuman, bihun dan lain-lain.

Foong berkata rumah anak yatim dipilih kerana memahami penjaga rumah berkenaan memerlukan bantuan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Mengulas pengalaman menebus SARA, beliau berkata proses pembelian adalah amat mudah tanpa perlu mengisi sebarang borang dan hanya perlu menunjukkan MyKad.

Pada masa sama, Foong berharap nilai bantuan SARA dan pilihan barangan wajar diperluas pada masa akan datang seperti pembelian barang basah, selain orang lain yang tidak begitu memerlukan bantuan SARA diseru melakukan kebajikan serupa.

Sementara itu, Pemilik Rumah Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Cahaya Kasih Kinta Norizan Razali, 56, berkata itu merupakan kali pertama pihaknya menerima sumbangan SARA daripada pihak lain.

“Alhamdulillah saya rasa bersyukur kerana benda ini (barangan yang dibeli menggunakan SARA) kami sangat perlukan,” katanya.

Beliau berkata sumbangan itu membantu meringankan beban yang ditanggung seramai 15 penghuni berusia antara lapan hingga 15 tahun itu. 

Menurut Norizan, rumah kebajikan itu ditubuhkan bersama isterinya Mamdazh Abd Kadir, 50, selepas menyedari masih ramai anak yatim serta warga miskin yang terbiar tanpa pembelaan, selain isterinya sendiri merupakan anak yatim sejak berusia sembilan tahun apabila kehilangan bapa.

Norizan berkata beliau berharap lebih ramai yang berkemampuan atau tidak memerlukan SARA agar menyalurkannya kepada pihak lebih memerlukan.

Penghargaan SARA RM100 ialah bantuan tunai sekali bayar diberikan kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang dikreditkan ke dalam MyKad yang terpakai untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan