SANDAKAN, 12 Sept (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tiga lelaki warga asing di kedudukan 8.79 batu nautika perairan utara Kuala Mumiang di sini semalam dipercayai cuba menyeludup keluar minyak masak bersubsidi ke negara jiran.
Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Suhairy Hussain berkata bot dinaiki tiga suspek berusia antara 16 hingga 39 tahun itu ditahan pada 12.45 tengah hari dan pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan 120 pek minyak masak bersubsidi.
“Sebelum penahanan berlaku, suspek turut dilihat membuang beberapa objek ke laut selepas menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia.
“Semasa pemeriksaan turut ditemukan wang tunai RM6,850 milik seorang suspek dan kesemua suspek didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah serta bot yang digunakan juga tidak berdaftar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata suspek, barang rampasan iaitu bot dan minyak bernilai lebih RM7,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial