KUANTAN, 12 Sept (Bernama) -- Sebuah loji stim biojisim bernilai RM31 juta akan dibangunkan di Kompleks Perindustrian Kimia Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd (Kaneka Malaysia) di Estet Perindustrian Gebeng di sini.
Knight Frank Malaysia melalui satu kenyataan berkata projek itu akan diterajui oleh BAC Renewable Energy Sdn Bhd (BACRE) melalui anak syarikatnya BACRE Gebeng Sdn Bhd, menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan tenaga boleh baharu negara dan usaha nyahkarbon perindustrian.
"Dibangunkan di bawah Perjanjian Pembelian dan Pembekalan Stim 20 tahun (SSPA), loji itu akan membekalkan Kaneka Malaysia sehingga 30 tan sejam (TPH) stim mesra alam, menggantikan penjanaan berasaskan gas konvensional selain menyokong matlamat kelestarian Kaneka.
"Kaneka Malaysia telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 70 peratus menjelang 2030, sebagai sebahagian daripada komitmennya yang lebih luas ke arah mencapai sifar bersih pada 2050," katanya.
Upacara pecah tanah projek itu mencerminkan kepentingan kerjasama rentas sektor dalam merealisasikan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu (MyRER) serta Pelan dan Pelan Hala Tuju Tenaga Negara (NETR).
Knight Frank berkata loji stim biojisim seluas 3.4 ekar itu direka bagi membekalkan stim boleh baharu secara langsung kepada operasi Kaneka Malaysia, mengurangkan pergantungan terhadap bahan api fosil dan mengurangkan pelepasan.
"Ciri-ciri utamanya termasuk penggunaan pelbagai sumber biojisim seperti tandan buah kosong, kernel sawit dan serpihan kayu, pembakaran termaju termasuk sistem pemulihan haba bagi kecekapan yang tinggi; pengendalian abu automatik untuk keselamatan tempat kerja dan operasi yang lebih lancar serta kawalan pelepasan yang ketat dalam pematuhan dengan standard Jabatan Alam Sekitar (DOE)," kata kenyataan itu.
Pengarah Eksekutif Knight Frank Malaysia Teh Young Khean berkata syarikat itu komited untuk menyokong projek-projek yang memacu pembangunan lestari dan pertumbuhan industri yang bertanggungjawab.
"Loji stim biojisim ini adalah contoh bagaimana pengurusan projek yang inovatif serta perkongsian strategik dapat memberikan manfaat alam sekitar yang nyata sambil menyokong matlamat tenaga boleh baharu Malaysia," katanya.
Pengarah Urusan Kaneka Malaysia Hiroyuki Nishimoto berkata kerjasama dengan BACRE dan rakan kongsi konsortiumnya akan membolehkan syarikat itu mengurangkan jejak karbonnya sehingga lebih kurang 30,000 tan bersamaan karbon dioksida (TCO₂e) setiap tahun sambil meningkatkan kecekapan operasi.
Pengarah BACRE Sdn Bhd, Hasnoel Ramly berkata projek itu mencerminkan misi BACRE untuk mengubah sisa minyak sawit menjadi sumber tenaga yang boleh dipercayai dan lestari, sambil menetapkan penanda aras bagi usaha nyahkarbon perindustrian di Malaysia. peluang pekerjaan selain mengukuhkan prinsip ekonomi kitaran.
Beliau berkata loji stim biojisim itu, yang dijadualkan beroperasi menjelang suku ketiga 2026, akan memacu matlamat MyRER dan NETR dengan menjadikan sisa pertanian kepada tenaga bersih termasuk meminimumkan pelepasan karbon perindustrian, mewujudkan peluang pekerjaan tempatan dan memantapkan prinsip-prinsip ekonomi kitaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial