JENAYAH & MAHKAMAH

Zara Qairina Dituduh Curi RM300 Milik Rakan Sehari Sebelum Insiden - Saksi

12/09/2025 03:05 PM

KOTA KINABALU, 12 Sept (Bernama) -- Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu terdapat cakap-cakap dalam kalangan pelajar sekolah yang mendakwa Zara Qairina Mahathir mencuri wang rakannya, sebelum kematian pelajar tingkatan satu itu.

Pengawal Keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar Linah Mansoding @ Jaliha, 65, berkata beliau hanya mendengar ‘cerita curi’ itu daripada pelajar-pelajar sekolah berkenaan selepas kejadian malang berkenaan.

Ibu kepada empat anak yang bertugas di sekolah berkenaan sejak 2012 menyatakan demikian ketika menjawab soalan peguam keluarga Zara Qairina, Shahlan Jufri pada hari ketujuh prosiding inkues.

Shahlan: Untuk kejadian kes Zara ini, ada puan dengar apa-apa cerita di sekolah daripada budak-budak?

Linah: Selepas kejadian itu, memang ada dengar… budak-budak cakap, disebutnya Zara ini dituduh mencuri.

Saksi keenam inkues kematian Zara Qairina itu berkata seorang pelajar perempuan, dikenali sebagai A, menemuinya di kawasan jemuran pakaian, sehari sebelum insiden malang itu dan memberitahu wang berjumlah RM300 serta kad bank di dalam beg sekolahnya telah hilang.

“Pelajar A tidak menyebut siapa yang dia tuduh. Selepas kejadian, barulah saya dengar… rupa-rupanya Zara dituduh mencuri duit pelajar A,” katanya.

Shahlan: Puan, pelajar A ada jumpa puan pasal tuduhan curi ini?

Linah: Dia cakap, ‘aunty, duit saya hilang dalam beg sekolah’. Saya tanya kenapa tidak beritahu pengawal siang hari, dia jawab dia diam sahaja. Kemudian saya tanya berapa banyak duit hilang, dia kata RM300 dengan kad bank sekali. Saya tanya lagi, kenapa bawa duit banyak, sepatutnya simpan dengan guru… tapi dia tidak cakap siapa yang curi.

Apabila ditanya, kenapa hanya Zara Qairina yang dituduh, Linah menjawab “saya tidak tahu”.

Linah berkata pelajar A mengadu perkara itu kepada pelajar tingkatan empat kerana semua bilik yang dihuni pelajar-pelajar tingkatan satu di aras tiga bangunan asrama itu, adalah di bawah jagaan pelajar tingkatan empat.

Saksi berkata beliau tidak tahu apa yang dilakukan pelajar tingkatan empat selepas wujudnya tuduhan curi itu, namun saksi tidak menolak kemungkinan pelajar tingkatan empat memanggil Zara Qairina untuk bertanya mengenai perkara berkenaan.

Menceritakan lebih lanjut, Linah berkata perkara itu kemudian diketahui seorang warden lelaki menerusi ketua dorm Zara Qairina, yang juga pelajar tingkatan empat.

Linah berkata beliau tidak pernah mendengar cerita lain mengenai Zara Qairina, selain tuduhan curi.

Prosiding hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung pukul 2.15 petang.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.

Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan