MELAKA, 11 Sept (Bernama) -- Penyediaan geran tambahan RM1,000 kepada johan Pertandingan Pidato Rukun Negara buat kali pertama pada tahun ini diyakini mampu menjadi suntikan motivasi kepada peserta sekali gus menarik lebih banyak penyertaan pada masa hadapan.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata geran tambahan itu akan diberikan kepada johan kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT), manakala sagu hati berjumlah RM1,000 pula diberikan oleh Kerajaan Negeri Melaka kepada penyertaan paling banyak dalam tiga kategori berkenaan.
"Kami amat berbangga dengan sambutan dan penyertaan luar biasa peserta dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Akhir Pidato Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.
Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Aaron berkata peningkatan jumlah penyertaan berlipat kali ganda pada pertandingan edisi keenam itu mencerminkan Rukun Negara bukan sekadar dokumen rasmi yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970, tetapi kompas moral dan falsafah kebangsaan yang menyatukan rakyat sebagai sebuah negara bangsa.
" Tahun ini menyaksikan 9,321 peserta berbanding tahun sebelumnya, melibatkan lima kategori, iaitu sekolah rendah, sekolah menengah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), bukan melayu dan awam.
“Ia sekali gus memberi gambaran kesungguhan generasi muda dan masyarakat untuk menghayati prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian.
Dalam konteks dunia moden yang semakin kompleks dengan kemajuan teknologi, perubahan politik dan cabaran sosial, penghayatan terhadap nilai-nilai Rukun Negara menjadi semakin penting.
“Jika nilai-nilai Rukun Negara terus disemai dalam diri rakyat, maka akan menjadi kompas moral dan pedoman bangsa yang kekal segar merentas zaman,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf dalam ucapannya berkata beliau optimis pertandingan pidato berkenaan akan menjadi platform dalam membangkitkan semangat juang serta mencetuskan persaingan sihat dalam mengangkat semangat patriotisme.
"Untuk itu, inisiatif RM1,000 bagi penyertaan paling tertinggi serta nilai hadiah yang dipertingkatkan kepada lebih RM40,000 secara keseluruhan bukan sahaja sebagai tanda penghargaan tetapi menjadi pembakar semangat kepada generasi muda untuk terus menghidupkan prinsip Rukun Negara," kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial