AM

GTEST 2025 Himpun 500 Peserta 15 Negara

10/09/2025 11:13 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Seiring dengan Kepengerusian ASEAN, Global Trends in Engineering, Science and Technology Congress 2025 (GTEST 2025) berjaya menarik hampir 500 penyertaan dari 15 negara, termasuk negara anggota ASEAN.

GTEST 2025 menampilkan 11 persidangan utama, termasuk Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Persidangan Kejuruteraan dan Teknologi Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MUCET 2025), selain program Innovation Pitch and Business Matching (IPBM).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata GTEST mencerminkan komitmen bersama merentasi sempadan dan sektor dalam menangani cabaran kompleks melalui kekuatan bidang kejuruteraan, sains dan teknologi.

“Malaysia percaya kejuruteraan, sains dan teknologi adalah tonggak pembangunan negara serta alat penting dalam menangani cabaran abad ke-21, termasuk perubahan iklim, transformasi digital, peralihan tenaga dan pembangunan infrastruktur mampan.

“Kerajaan Malaysia komited memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai agenda nasional melalui dasar dan kerjasama strategik bersama industri kerana TVET bukan lagi laluan alternatif, sebaliknya satu tiang seri dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya dalam ucapan perasmian GTEST 2025 itu.

Mustapha berkata Dasar TVET Negara 2030 berperanan sebagai pelan hala tuju strategik untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi mampan dan menggalakkan mobiliti sosial selaras dengan aspirasi agar setiap individu tanpa mengira latar akademik, mempunyai akses kepada pekerjaan bermakna dan bernilai tinggi melalui latihan teknikal berkualiti.

“Oleh itu, saya menyeru kepada universiti, politeknik dan pemain industri agar memperkukuh kerjasama dalam melahirkan bakat masa depan yang bukan sahaja pencari kerja, tetapi pencipta peluang pekerjaan,” katanya.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Prof Dr Zaliman Sauli dalam ucapan alu-aluannya berkata tema GTEST 2025  Inclusive Innovation through Converging Technologies menzahirkan hasrat UniMAP untuk memastikan hasil penyelidikan dan inovasi dapat dimanfaatkan semua lapisan masyarakat, tanpa ada yang terpinggir.

“Kekuatan kongres ini adalah pada integrasi pelbagai disiplin daripada kejuruteraan, sains hayat, teknologi digital hinggalah sains sosial bagi melahirkan penyelesaian yang menyeluruh dan berimpak tinggi.

Sebagai universiti teknikal, UniMAP meletakkan TVET sebagai misinya, dengan memperkukuh kerjasama industri, memacu penyelidikan gunaan dan menghasilkan solusi terhadap cabaran dunia sebenar. 

“Kami komited memperkasa bidang elektrik dan elektronik, kecerdasan buatan serta pelbagai disiplin lain. Dengan menyelaraskan pengajaran dan penyelidikan bersama keperluan industri, kami mendorong inovasi, memperkukuh bakat tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan teknologi negara,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP Tan Sri Datuk Seri Sufri Mhd Zaindan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Prof Dr Yatimah Alias.

Pada majlis berkenaan, turut diadakan pelancaran MTUN Nexus iaitu model kerjasama universiti-industri bagi mengukuhkan kerjasama strategik melalui projek penyelidikan, inovasi dan perundingan.

Ia juga memperkukuh kapasiti kepakaran dan keterlihatan MTUN secara kolektif dan bersasar dalam usaha menyelaraskan sokongan operasi kepada setiap MTUN serta rakan industri.

Model ini menerajui enam portfolio utama bidang terkehadapan MTUN iaitu Renewable Energy (UMPSA), Agriculture 4.0 (UMPSA), Mobility 4.0 (UTHM), Electrical & Electronics (UniMAP), Manufacturing 5.0 (UTeM) dan Smart Digital Infrastructure 4.0 (UTeM).

Kejayaan ini adalah hasil projek Strategic Synergy Model for the Malaysia Technical University Network University-Industry Partnership yang telah menerima pembiayaan di bawah geran padanan British Council’s Going Global Partnerships dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) bermula November 2021 hingga September 2025.

GTEST 2025 berlangsung selama tiga hari bermula 9 Sept di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) dianjurkan Pejabat Timbalan Naib Canselor serta Pusat Pengurusan Penyelidikan UniMAP.

Bagi MUCET 2025, edisi kali ini menyaksikan penyertaan universiti MTUN+ yang menegaskan peranannya dalam memperkukuh agenda TVET Negara melalui penyelidikan gunaan dan kerjasama industri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan