PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) akan diperluaskan kepada semua ketua perkhidmatan dan ketua jabatan di setiap agensi bermula tahun hadapan bagi memastikan tadbir urus yang lebih baik serta peningkatan prestasi menyeluruh di setiap peringkat perkhidmatan awam.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata DEEP yang mula dilaksanakan awal tahun ini untuk menilai prestasi ketua-ketua setiausaha di setiap kementerian, menunjukkan peningkatan ketara dalam prestasi dan pelaksanaan inisiatif perkhidmatan.
"Impak awal penilaian ini menunjukkan peningkatan ketara dalam prestasi dan pelaksanaan inisiatif perkhidmatan, terutamanya dalam empat aspek utama iaitu pengurusan kewangan yang lebih realistik; pengurangan isu dalam pengurusan projek melalui pemantauan rapi; pengukuhan akauntabiliti dan integriti; serta kepimpinan dan personaliti yang menunjukkan keseimbangan lebih baik antara kecekapan dan penerimaan warga kementerian.
"Kesemua ini membuktikan bahawa pendekatan baharu dan unik melalui DEEP berjaya menyokong usaha reformasi perkhidmatan awam," katanya pada majlis Simposium Penilaian Strategik Setahun Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) Tahun 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata sistem DEEP bukan untuk menghukum sebaliknya ia bertujuan menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.
"Kita bukan semata-mata buat DEEP berdasarkan demerit, kita ada remerit, yang mana anda buat salah, anda kena hukum, kena tolak markah daripada 100, tapi kalau anda buat satu yang baik, anda dapat pujian daripada peringkat antarabangsa, komuniti, dan rakyat, kita akan tambah (markah).
"Berdasarkan penilaian DEEP bagi suku kedua tahun ini kita tengok ada penambahbaikan. Hasil daripada yang kita buat ini dah nampak banyak projek dilaksanakan dengan baik dan banyak kes dapat diselesaikan dengan cepat," katanya.
Mengenai ARPA yang dilancarkan pada 10 Sept tahun lepas, Shamsul Azri berkata impaknya kepada perkhidmatan awam serta negara amat mengujakan dan membuahkan hasil yang sangat signifikan.
Beliau berkata daya saing negara melonjak ke tangga yang ke-23 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025, iaitu naik 11 anak tangga daripada kedudukan ke-34 tahun lepas, dan merupakan satu-satunya negara dengan lonjakan dua digit dalam penarafan tersebut.
"Lebih membanggakan, subindikator kecekapan kerajaan turut melonjak lapan anak tangga (daripada kedudukan ke-33 pada 2024 kepada ke-25 pada 2025).
"Pencapaian ini bukan kebetulan. Inilah hasil reformasi yang mula menampakkan kesan. Pastinya, ia juga didukung oleh komitmen semua dalam merealisasikan ARPA sebagai kerangka induk untuk membina perkhidmatan awam berprestasi tinggi menjelang 2030," katanya.
Bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif ARPA, Shamsul Azri berkata Skuad Pemantau atau “Flying Squad” ARPA akan diwujudkan, yang berperanan menjalankan pemantauan di lapangan bagi menilai kualiti perkhidmatan, tahap pematuhan peraturan serta mengumpul maklumat mengenai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.
Beliau berkata pelaksanaan Skuad Pemantau ARPA akan diterajui bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), dan Unit Pantau MADANI.
Shamsul Azri turut menggesa Ketua Pegawai Reformasi (CRO) mempercepatkan implementasi dan pelaksanaan inisiatif yang telah dimuktamadkan di bawah kerangka ARPA.
"Peranan CRO ini penting bagi memastikan idea bernas tidak terhenti di peringkat perancangan sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang konkrit demi kepentingan rakyat," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial