MELAKA, 10 Sept (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Keselamatan Awam Vietnam Jeneral Luong Tam Quang, pada sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-19 (19th AMMTC) di sini.
Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama keselamatan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Rentas Sempadan antara Malaysia dan Vietnam, khususnya dalam bidang keselamatan siber.
“Malaysia turut memaklumkan bahawa ia kini dalam proses untuk menyertai Budapest Convention on Cybercrime dan secara rasmi akan menandatangani United Nations Convention Against Cybercrime di Hanoi pada Oktober ini,” menurut kenyataan itu.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman, Setiausaha Bahagian Keselamatan Datuk Zulkifli Abidin, Setiausaha Bahagian Antarabangsa Mohd Azlan Razali dan Timbalan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Saiful Lizan Ibrahim.
Delegasi Vietnam pula diketuai Ketua Pengarah Jabatan Hubungan Luar Lt Jen Dang Xuan Hong, Ketua Pengarah Jabatan Polis Jenayah Left Jen Tran Ngoc Ha, serta Ketua Siasatan Mejar Jen Tran Minh Tien.
Kementerian itu memaklumkan bahawa Quang turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Saifuddin Nasution untuk melawat Vietnam pada bulan Oktober, bagi terus memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Melaka telah menjadi hab serantau apabila menteri-menteri ASEAN bersama pegawai kanan yang bertanggungjawab dalam hal keselamatan dan pencegahan jenayah berkumpul dari 8 hingga 12 Sept sempena AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan.
Acara itu diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, yang mencerminkan komitmen negara dalam membina Komuniti ASEAN yang lebih selamat serta makmur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial