JENAYAH & MAHKAMAH

Siasatan SPRM Berasaskan Bukti, Tidak Dipengaruhi Arahan Politik - MCW

10/09/2025 04:34 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menolak keras sebarang cubaan mempolitikkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan menegaskan keputusan pendakwaan dibuat berasaskan bukti, bukan berdasarkan arahan politik atau pengaruh persepsi media sosial.

Presiden MCW Jais Abdul Karim berkata pihaknya memandang serius laporan media, yang cuba menggambarkan seolah-olah SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki bertindak mengikut arahan politik tertentu dalam kes melibatkan syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador.

Beliau berkata SPRM menjalankan siasatan mengikut kerangka undang-undang sedia ada, khususnya Akta SPRM 2009 dan Kanun keseksaan sebelum semua dokumen, saksi dan transaksi kewangan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Menjadi bidang kuasa mutlak AGC untuk memutuskan sama ada sesuatu kes mempunyai asas pendakwaan atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, SPRM mengesahkan tiada sebarang aktiviti eksplorasi mineral dijalankan di Sabah oleh syarikat yang dikaitkan dengan Farhash, seperti yang didakwa sebelum ini.

Azam pada sidang media berkata siasatan pihaknya mendapati syarikat itu tidak pernah memohon tanah daripada Kerajaan Negeri Sabah, sebaliknya hanya mengemukakan permohonan untuk eksplorasi mineral kepada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM).

Jais berkata tuduhan kononnya siasatan itu “diarah” atau “dilindungi” oleh mana-mana pemimpin politik tidak berasas dan berniat jahat, kerana sistem perundangan negara menetapkan keputusan untuk mendakwa dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya yang bebas dan bukannya Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Beliau turut berkata kelajuan sesuatu siasatan tidak wajar diputar-belitkan sebagai alasan untuk menimbulkan syak wasangka, dan tidak adil untuk membandingkan secara selektif antara kes yang berbeza sifatnya.

“Ada kes yang lebih cepat selesai kerana bukti jelas dan ringkas, ada pula kes memerlukan masa lebih panjang kerana melibatkan jaringan transaksi kompleks,” katanya.

Jais mengingatkan siasatan ditutup bukan bermakna seseorang itu bersih selama-lamanya, sebaliknya siasatan boleh dibuka semula pada bila-bila masa, sekiranya ada bukti baharu.

“Serangan terhadap integriti SPRM hanya kerana tidak selari dengan persepsi politik sesetengah pihak boleh melemahkan usaha membanteras rasuah secara menyeluruh. Rakyat berhak kepada ketelusan, tetapi ketelusan itu mesti dipandu oleh undang-undang, bukan oleh naratif politik yang menyesatkan.

“MCW menyeru semua pihak agar berhenti membuat spekulasi dan memberi ruang kepada institusi penguatkuasaan serta AGC untuk menjalankan peranan mereka dengan bebas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan