GEORGE TOWN, 10 Sept (Bernama) -- Di sebalik dinding batu dan jeriji besi Penjara Pulau Pinang, terdapat kisah luar biasa hasil daripada program dakwah dan Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) yang dijalankan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Selain mendekatkan diri kepada Allah, program tersebut berjaya mengubah penghuni Penjara Pulau Pinang menjadi lebih baik, malah ada yang menjadi tenaga pengajar di surau.
Seorang prospek, Ahmad, 43, yang berasal dari Pulau Pinang berkata dia telah ditahan pada 2023 di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas mendakwa dianiaya rakan sendiri yang menyuruhnya menghantar barangan, sebelum ditahan bersama ganja seberat satu kilogram.
Ahmad menganggap ujian itu berat untuk dirinya namun memilih untuk bangkit dan kini menjadi tenaga pengajar iqra' di surau penjara dan telah empat kali khatam al-Quran sejak ditahan reman.
"'Rutin kami di penjara bermula awal pagi dengan solat subuh dan seterusnya sunat duha, kemudian kelas bacaan iqra' dan al-Quran. Setakat ini saya sudah khatam al-Quran empat kali di sini dan saya juga menjadi tenaga pengajar kepada rakan-rakan lain.
"Kalau ada peluang, saya mahu menyumbang kepada masyarakat iaitu membantu di masjid. Alhamdulillah program NILAM oleh YADIM banyak memberi ilmu baharu kepada kami menerusi buku-buku yang disediakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Perasmian Program NILAM Peringkat Prospek Penjara Pulau Pinang yang dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua YADIM Prof Dr Adi Anuar Azmin dan dihadiri Pengarah Penjara Pulau Pinang Zool Fadli Ismail.
Seorang lagi prospek Penjara Pulau Pinang yang hanya mahu dikenali sebagai Ibrahim, 50, kini menjadi bilal surau penjara, mengajar al-Quran dan aktif dalam program keagamaan yang dianjurkan saban minggu.
Dia kini menanti keputusan perbicaraan kes melibatkan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sudah lebih empat tahun.
Bekas nelayan itu berkata sejak lebih empat tahun di penjara, dia mengikuti pengajian agama sehingga hidupnya berubah sepenuhnya.
''Saya belajar agama hampir lima tahun, jadi bilal, mengajar al-Quran dan kami juga setiap bulan disantuni YADIM dengan pelbagai ilmu termasuk terbaru program NILAM, walaupun belum tahu nasib hukuman, saya percaya Allah susun semua ini.
''Program NILAM banyak bantu kami dari segi membaca bahan ilmu terutama ilmu agama yang mendekatkan kami dengan Allah,'' katanya yang merupakan bapa kepada empat anak berusia antara sembilan hingga 27 tahun.
Program NILAM merupakan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaras dengan konsep MADANI yang menekankan kepada konsep membaca, membentuk nilai murni yang baik dan juga akhlak yang mulia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial