AM

DUN Perak Lulus RUU Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025

10/09/2025 03:58 PM

IPOH, 10 Sept (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025, yang bertujuan memperkasakan, menyelaras dan memperkemas pentadbiran institusi pendidikan agama Islam di negeri ini.

Seramai 15 Ahli DUN (ADUN) mengambil bahagian membahaskan RUU itu selepas dibentang Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad semalam.

Saarani ketika menggulung perbahasan RUU tersebut hari ini berkata penguatkuasaan undang-undang baharu itu tidak akan membatalkan perjanjian persefahaman (MoU) sedia ada yang telah dimeterai antara Kementerian Pendidikan dan Lembaga Pengurus Sekolah (LPS).

"Perlu ditegaskan bahawa kerajaan negeri sama sekali tidak akan menganaktirikan sekolah agama yang telah mendaftar sebagai SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan) memandangkan LPS tetap tertakluk kepada undang-undang ini. 

"Kerajaan negeri tetap berperanan membantu sekolah dan pelajar dalam aktiviti kokurikulum di peringkat negeri kelolaan JAIPk (Jabatan Agama Islam Negeri Perak) mahupun JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," katanya pada Persidangan DUN Perak di sini hari ini.

Sementara itu, Saarani berkata tanggapan bahawa kerajaan negeri tidak mempertahankan penutupan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) integrasi tidak sepatutnya timbul jika difahami realiti dari sudut bidang kuasa pengoperasian sekolah berkenaan.

Beliau berkata pelaksanaan program KAFA di SRAR (Sekolah Rendah Agama Rakyat) tertakluk pada peraturan yang ditentukan oleh JAKIM dan Enakmen Kawalan Sekolah Agama Islam. 

"Di dalam Peraturan Pelaksanaan Program Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain 2022 (JAKIM) menyatakan penutupan KAFA dilaksanakan atas sebab bilangan murid kurang daripada 30 orang.

"Bidang kuasa kerajaan negeri hanya meliputi soal pendaftaran. Dalam kes penutupan sekolah terbabit, kerajaan negeri tidak pernah membatalkan pendaftarannya, sebaliknya diberi status penutupan sementara manakala guru lantikan JAKIM dan pelajar sedia ada dipindahkan ke sekolah berhampiran," katanya.

Katanya sekiranya bilangan murid meningkat kepada 30 orang, LPS boleh memohon untuk mengaktifkan semula operasi sekolah.

Saarani berkata dalam hal itu jelas bahawa berlakunya ketidakseragaman dari sudut punca kuasa dalam mengelola operasi sekolah agama apabila peraturan operasi ditentukan oleh JAKIM manakala bidang kuasa pendaftaran dilakukan oleh JAIPk.

Menurutnya perkara itu menjadikan RUU tersebut penting untuk digubal supaya penafsiran bagi premis berkenaan dibuat secara jelas agar sekolah-sekolah agama dapat dikawal selia di bawah undang-undang terbabit.

Dalam pada itu, Saarani berkata sebanyak RM10 juta telah diluluskan oleh DUN Perak sebelum ini supaya diuruskan oleh Menteri Besar yang menjaga portfolio agama bagi tujuan khas pendidikan Islam.

"Saya mengaku RM1.8 juta diberikan kepada Sekolah SUWA (Sekolah Persendirian Cina), RM1 juta kepada sekolah Tamil, RM10 juta untuk pendidikan khas Islam. Kalau saya tak sebut nanti dilihat macam kerajaan pimpinan saya tidak ambil peduli kepada sekolah Islam," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab Noor Azman Ghazali (PN-Alor Pongsu) yang membangkitkan dalam perbahasannya semalam berkaitan pemberian bantuan RM200,000 kepada sembilan SUWA yang keseluruhannya berjumlah RM1.8 juta di Perak, sebelum melontarkan pertanyaan: “Macam mana pula dengan sekolah-sekolah agama?”

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan