KOTA KINABALU, 10 Sept (Bernama) -- Sebanyak 196 orang daripada 62 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon setakat pagi ini, susulan banjir di Beaufort.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, sebanyak lapan kampung terkesan akibat banjir yang melanda daerah itu sejak semalam.
“Jumlah mangsa meningkat 196 orang daripada 62 keluarga pagi ini, berbanding 121 daripada 39 keluarga pada 11.59 malam tadi,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memaklumkan beberapa lokasi di Jalan Beaufort-Menumbok terjejas akibat banjir antaranya kawasan Kolej Komuniti Beaufort dan pejabat Jabatan Air Sabah Bahagian Beaufort yang hanya boleh dilalui kenderaan berat.
Dalam pada itu, Jabatan Keretapi Sabah memberitahu perkhidmatan kereta api hanya beroperasi dari Stesen Sembulan hingga Stesen Beaufort bermula pagi ini akibat laluan yang terkesan banjir.
“Perkhidmatan antara Beaufort ke Tenom masih belum beroperasi pagi ini disebabkan banjir masih menenggelami landasan di antara Stesen Beaufort dan Stesen Saliwangan, dan tanah runtuh di antara Stesen Pangi dan Stesen Rayoh,” menurut jabatan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial