JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Akauntan GISBH Didakwa Sembilan Pertuduhan Pengubahan Wang Haram RM3.89 Juta

09/09/2025 06:40 PM

SHAH ALAM, 9 Sept (Bernama) -- Bekas akauntan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM3.89 juta. 

Hamimah Yakub, 73, membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud. 

Dia didakwa menerima sebanyak RM3,618,527.86 hasil aktiviti haram melalui lima transaksi antaranya daripada akaun bank peribadi, akaun bank milik sebuah pasar raya dan sebuah syarikat. 

Hamimah turut didakwa telah memindahkan sebanyak RM271,863.62 hasil aktiviti haram dengan empat transaksi antaranya ke akaun milik GISB Mart Sdn Bhd, akaun peribadi dan akaun bank milik GISBH. 

Kesemua kesalahan itu dilakukan di cawangan bank di sekitar Selangor dan Kedah antara 5 Jan 2020 hingga 29 Jan 2021. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Mohd Marzuki menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan Hamimah perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke Bukit Aman sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan. 

Peguam Datuk Rosli Kamaruddin memohon mahkamah mempertimbangkan wang jaminan yang minimum RM5,000 atau mengguna pakai jaminan sedia ada yang telah dikenakan terhadap anak guamnya yang turut menghadapi kes di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan. 

Mahkamah membenarkan jaminan sementara sebanyak RM5,000 bagi mengelakkan tertuduh ditahan memandangkan jumlah yang tinggi akan menyukarkan proses pendokumentasian sekali gus menyebabkan tertuduh ditahan. 

“Ketika nota (keputusan) ini dibuat pada 3.17 petang dan mengambil kira kaunter akan ditutup empat petang, mahkamah akan memberikan jaminan sementara sebelum satu nilai dapat diputuskan.

“Lagipun, esok telah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa Hamimah akan didakwa 60 pertuduhan lagi dan proses jaminan sepenuhnya akan dibuat esok,” katanya. 

Esok, mahkamah sama dijangka mendengar sejumlah pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan tiga lagi tertuduh termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali. 

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan