JENAYAH & MAHKAMAH

Penganggur Didakwa Pandu Berbahaya, Sebabkan Kematian Remaja

09/09/2025 04:56 PM

SEREMBAN, 9 Sept (Bernama) -- Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian remaja berusia 18 tahun bulan lepas.

R. Puvarasan, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut pertuduhan, Puvarasan memandu kereta jenis Mercedes-Benz secara berbahaya kepada awam hingga menyebabkan kematian Che Wan Muhammad Aqif Mustaqim Che Faizal, 18, di Jalan Temiang, di sini kira-kira 6.35 pagi, 6 Ogos lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang dan mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak lebih lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya P. Rubini menawarkan jaminan RM20,000, bagaimanapun peguam P. S. Tamil Arsoo merayu jaminan minimum kerana anak guamnya tidak bekerja, manakala ibunya pula merupakan ibu tunggal.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan 6 Nov ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan