JENAYAH & MAHKAMAH

KK Tanom Coffee, Pengarah Didakwa Salah Guna Petunjuk Geografi ‘Tenom Coffee’

09/09/2025 02:46 PM

JOHOR BAHRU, 9 Sept (Bernama) -- Sebuah syarikat pengeluar kopi dan pengarahnya hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan dengan salah petunjuk geografi berdaftar ‘Tenom Coffee’ pada bungkusan kopi keluarannya.

Kes itu pendakwaan pertama seumpamanya di Malaysia di bawah Akta Petunjuk Geografi 2022.

KK Tanom Coffee Sdn Bhd selaku syarikat tertuduh dan pengarahnya Lim Sen Tiam, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Syarikat itu didakwa memakaikan dengan salah petunjuk geografi, iaitu ‘KK Tanom Coffee’ pada plastik pembungkus Uncang Kopi-O 2 in 1 Kopi-O Kow 240g sebanyak 1,368 unit, yang secara tidak langsung merujuk kepada petunjuk geografi berdaftar ‘Tenom Coffee’, tanpa kebenaran pemilik berdaftar.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 25 Mac lepas kira-kira 12.10 tengah hari di sebuah premis di No. 104, Jalan Lagenda 5, Taman Lagenda Putra, Lagenda Industrial Park, Kulai, Johor.

Pendakwaan mengikut Seksyen 34(3) Akta Petunjuk Geografi 2022 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 34(3)(a) akta sama, iaitu denda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan petunjuk geografi berdaftar dengan salah, dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak lebih RM30,000 bagi setiap barang.

Lim sebagai pengarah syarikat juga didakwa melakukan kesalahan sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34(3)(b) akta berkenaan dibaca bersama Seksyen 67(1)(b) akta sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda hingga RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan dengan salah petunjuk geografi berdaftar atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan berikutnya denda hingga RM20,000 bagi setiap barang atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan dan sebutan semula kes pada 8 Okt ini bagi serahan dokumen. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Bahagian Undang-Undang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Muhammad Hakiim Izani serta Nur Sulehan Abd Rahman, manakala Lim diwakili peguam YX Ching.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan