Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin apabila dolar AS melemah susulan laporan pasaran buruh AS yang dikeluarkan pada Jumaat lepas tidak memberangsangkan.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2165/2205 daripada 4.2260/2320 ketika ditutup pada Khamis.
Pasaran ditutup pada Jumaat sempena cuti Maulidur Rasul.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata laporan pembayaran gaji bukan ladang (NFP) AS bagi Ogos yang lebih rendah daripada jangkaan telah mengukuhkan lagi kemungkinan pengurangan kadar faedah apabila Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) bermesyuarat semula minggu hadapan.
“Buat masa ini, kalangan pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) berada dalam tempoh ‘berdiam’ kerana mereka tidak dibenarkan berkongsi pandangan secara umum seminggu sebelum mesyuarat FOMC.
“Oleh itu, para pelabur hanya mempunyai beberapa data untuk diteliti, iaitu Indeks Harga Pengeluar (IHPR) dan Indeks Harga Pengguna (IHP),” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan turun berbanding euro kepada 4.9430/9477 daripada 4.9203/9273 ketika ditutup pada Khamis, dan rendah berbanding yen kepada 2.8536/8565 daripada 2.8489/8531.
Ringgit juga susut berbanding pound British kepada 5.6956/7011 daripada 5.6793/6874.
Mata wang domestik juga diniagakan rendah berbanding mata wang negara ASEAN.
Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.2831/2865 daripada 3.2775/2824 ketika ditutup pada Khamis lepas dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.2299/2491 daripada 13.0666/0908.
Unit domestik juga rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 258.5/258.8 daripada 257.3/257.7 dan lemah berbanding peso Filipina kepada 7.43/7.44 daripada 7.40/7.42.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial