BERITA TERGEMPAR | Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | |
Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Alliance Islamic Bank Bhd bercadang untuk memperluas Program Pembiayaan Mikro Zakat (AZAM) ke seluruh negara selepas inisiatif itu memberikan hasil positif dalam meningkatkan taraf hidup usahawan mikro dari kalangan asnaf.
AZAM merupakan kemudahan pembiayaan mikro berasaskan konsep Qard (Syariah), menggunakan dana zakat wakalah bank tanpa sebarang caj atau kos tambahan.
Melalui program itu, usahawan mikro asnaf dapat memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka, selain menerima latihan kemahiran perniagaan, kewangan dan pemasaran dengan sokongan rakan strategik, Amanah Ikhtiar Malaysia.
Bayaran balik peserta pula disalurkan semula untuk membantu asnaf lain yang layak, menjadikan dana zakat bukan sahaja memperkasakan lebih ramai penerima tetapi turut memberi manfaat lebih luas kepada masyarakat.
Sejak dilancarkan pada Disember 2023, program itu telah menyalurkan dana zakat wakalah berjumlah RM450,000 dan memberi manfaat kepada 154 usahawan mikro asnaf.
Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata kejayaan program tersebut menandakan usaha perintis dalam mentakrifkan semula zakat sebagai mekanisme strategik bagi pemerkasaan ekonomi di Malaysia.
Beliau berkata rancangan jangka panjang bank adalah untuk memperluaskan pelaksanaan AZAM ke seluruh negara, berasaskan kejayaan di Selangor melalui kerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor.
Bagi menyokong peluasan itu, bank kini sedang berunding dengan institusi pengurusan zakat negeri serta pihak berkuasa agama berkaitan.
“Matlamat kami adalah memperluaskan lagi capaian AZAM ke negeri-negeri lain memandangkan program ini telah menunjukkan impak positif dan membuktikan keberkesanannya.
“Beberapa Majlis Fatwa Negeri sedang meneliti inisiatif ini dan kami dalam perbincangan untuk memuktamadkan model operasi bersama mereka,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.
Menurut Rizal, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) turut menyokong program AZAM dengan mengiktiraf manfaatnya.
“Namun, memandangkan hal ehwal agama dan kebudayaan terletak di bawah bidang kuasa negeri, setiap negeri perlu melalui proses tadbir urus masing-masing sebelum meluluskan pelaksanaan program ini. Kami juga sedang mengadakan kempen advokasi bagi menggalakkan lebih banyak negeri menerima pakai pembiayaan mikro zakat,” katanya.
Beliau berkata bank juga mengalu-alukan sumbangan zakat wakalah daripada orang ramai yang akan digunakan untuk membantu lebih ramai usahawan asnaf memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.
“Kami turut membuka peluang kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk syarikat yang sehaluan serta komited dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan miskin, sekali gus memperbaiki standard sosioekonomi dan kualiti hidup mereka,” kata Rizal.
Bank itu juga katanya, turut bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
AZAM Beri Impak Ekonomi Ketara
Menurut Rizal, laporan impak program AZAM baru-baru ini menunjukkan inisiatif itu memberi perubahan besar kepada kehidupan peserta, dengan pendapatan bulanan purata meningkat sehingga 36 peratus dalam tempoh setahun.
Lebih 90 peratus peserta turut melaporkan peningkatan kualiti hidup, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga kesejahteraan secara keseluruhan.
“Jika diperincikan, ada peserta yang menyaksikan peningkatan pendapatan bulanan sehingga 150 peratus.
“Seorang peserta dari Puncak Alam yang menjalankan perniagaan cermin mata berjaya menambah pendapatan sebanyak 44 peratus sehingga mencecah RM13,000 sebulan, sekali gus keluar daripada kategori asnaf,” katanya.
Rizal berkata bank turut merekodkan kadar bayaran balik 100 peratus daripada peserta, mencerminkan tahap tanggungjawab serta komitmen tinggi mereka, selain keberkesanan pendekatan pembiayaan patuh Syariah yang mesra peserta serta tidak membebankan.
“Menariknya, lapan daripada 10 peserta menyatakan hasrat untuk menggalakkan lebih ramai usahawan asnaf menyertai program ini, mencerminkan impak sebenar yang dibawa oleh AZAM,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial