KUCHING, 7 Sept (Bernama) -- Penduduk kampung dan masyarakat di luar bandar juga berpotensi menjadi pencipta dan inovator, bukan hanya golongan pakar atau saintis, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata Program Jejak Inovasi Sosial anjuran Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) berperanan sebagai platform untuk mencungkil bakat, mengenal pasti, membimbing serta membantu inovator tempatan di luar bandar agar idea mereka dapat dikembangkan demi manfaat komuniti setempat.
“Setiap daripada kita boleh menjadi pencipta dan inovator asalkan ada kreativiti untuk berfikir bagaimana menyelesaikan masalah di sekeliling kita, sama ada di rumah, tempat kerja atau di kampung.
“Contohnya, membuat kek lapis yang biasanya mengambil masa lama... kalau kita fikir bagaimana untuk mempercepatkan proses itu tanpa menjejaskan rasa dan kualiti, itu sudah dianggap langkah ke arah inovasi,” katanya ketika merasmikan Program Jejak Inovasi Sosial Zon Sarawak di Kampung Gita Baru, di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pendekatan turun padang oleh YIM membolehkan masalah sebenar yang dihadapi masyarakat dikenal pasti secara langsung dan ditangani dengan penyelesaian yang lebih praktikal serta berkesan.
Beliau turut menggesa masyarakat setempat yang lebih arif mengenai isu di kawasan masing-masing untuk bekerjasama dengan penyelidik serta agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian dalam skala lebih besar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata Program Jejak Inovasi mula diperkenalkan di Malaysia pada 2011 hingga 2014 sebagai program 'in-situ' untuk menjejaki inovasi komuniti yang berkembang secara organik dan dinamik dalam menyelesaikan isu ekonomi, sosial dan alam sekitar.
“Mulai 2025, program ini dijenamakan semula sebagai Jejak Inovasi Sosial dengan pendekatan lebih tersusun berasaskan metodologi 4D iaitu Discover, Develop, Disseminate dan Diffuse.
“Antara inisiatif berbentuk ‘community touch-down’ ialah MyIS Komuniti, MyIS Akar Umbi, Youth Innovative Challenge (YIC) dan Innovation Catalyst (ICATs).
“Pendekatan ini membolehkan kami menyelami dan menilai secara komprehensif pelbagai isu sosial, ekonomi dan alam sekitar, di samping menjejaki produk inovasi serta bakat belia inovator sosial, khususnya bagi Zon Sarawak,” katanya.
Program Jejak Inovasi Sosial Zon Sarawak yang memasuki edisi terakhir untuk tahun ini turut merangkumi lawatan ke pusat kraf tangan, pusat penyelidikan untuk dan memulihara air yang tercemar, produk penjagaan kulit buatan tangan dan kilang fertigasi cili dan salad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial