BERITA TERGEMPAR   Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | 
 AM

Bantuan SARA Terus Beri Sinar Gembira Penduduk

07/09/2025 01:11 PM

TAWAU, 7 Sept (Bernama) -- Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dilaksanakan kerajaan MADANI melibatkan pemberian bantuan RM100 sekali bayar pada 31 Ogos, terus membawa sinar kegembiraan kepada rakyat.

Penerima SARA yang ditemui Bernama selepas lawatan tinjauan perkhidmatan SARA oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di sebuah pasar raya di sini mendapati, orang ramai memanfaatkan bantuan SARA dan tidak lekang menzahirkan rasa syukur serta gembira dapat membeli barangan keperluan yang lebih pada bulan ini.

Pekerja swasta Eddy Sukirman, 42, berasal dari Kampung Tanjung Batu Darat berkata bantuan kewangan itu, dapat membantu mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah.

“Walaupun tidak banyak, tapi saya bersyukur sekurangnya mengurangkan beban kewangan ditanggung untuk tujuh beranak, bantuan SARA itu saya guna untuk memberi barangan mandian serta barang dapur.

“Saya juga bersyukur atas inisiatif kerajaan menerusi pemberian RM100 secara sekali beri dan isteri saya merupakan penerima sekali beri, jadi belanja untuk barang keperluan pada bulan ini lebih sedikit, saya dapat RM200 dan isteri RM100,” katanya.

Eddy turut mencadangkan agar memperbanyakkan lagi jenis barangan yang dijual untuk SARA, termasuk produk setempat seperti makanan ringan Amplang.

Bagi pelajar Kolej Vokasional Tawau Anas Mohammad Dzakwan Suwardi dari Kampung Tanjung Batu Darat, menyifatkan bantuan kerajaan itu berbentuk inklusif dan prihatin termasuk kepada pelajar berusia 18 tahun.

“Saya gembira dapat RM100 daripada kerajaan, hari ini pertama kali saya gunakan untuk beli biskut kerana mahu beriadah di air terjun, dan masih ada lagi baki dan pemberian kerajaan ini saya akan guna sebaiknya.

“Meskipun saya pelajar tetapi saya memiliki tanggungjawab untuk mengurus kewangan sendiri, saya akan berjimat-jimat, tidak perlu meminta dengan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fitri Fawwaz Abd Fattah,18, dari Kampung Pasir Putih berkata terdapat baki RM80 untuk bantuan SARA secara sekali beri berkenaan dan akan diberikan kepada ibu untuk tambahan beli barangan dapur.

“Tadi saya beli sedikit barang keperluan saya, baki saya mahu bagi ibu, rasa sangat untung dengan bantuan kerajaan ini,” katanya lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan