AM

MyKad Dalam Program SARA Elak Ketirisan Beli Barangan Asas

06/09/2025 05:31 PM

LAHAD DATU, 6 Sept (Bernama) -- Penggunaan MyKad dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merupakan mekanisme terbaik bagi memastikan tiada penyelewengan atau ketirisan dalam pembelian barangan asas, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata kejayaan pendekatan itu terbukti melalui peningkatan konsisten dalam transaksi Penghargaan SARA sebanyak RM100 dari semasa ke semasa.

“Hari ini Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa sistem stabil, manakala jumlah yang diproses setiap hari semakin meningkat.

“Ini merupakan petunjuk positif bahawa penggunaan MyKad, khususnya dalam program SARA, adalah cara terbaik untuk memastikan tiada penyelewengan atau ketirisan dalam pembelian barangan asas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Sembang Santai Komuniti MADANI di Kampung Cocos, di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penerangan, Julina Johan.

Sementara itu, Fahmi berkata inkues kes kematian Zara Qairina Mahathir yang sedang berlangsung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu ketika ini adalah sebahagian daripada proses mahkamah.

Katanya, berdasarkan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara, dimaklumkan bahawa sebarang kenyataan yang menghina, mengelirukan atau cuba mengganggu perjalanan mahkamah adalah bersifat subjudis.

“Sekiranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima aduan, sama ada daripada peguam mahupun orang awam, mengenai kenyataan tidak tepat yang dibuat, platform-platform boleh diminta untuk menurunkannya,” katanya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu. Beliau dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada jam 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan satu inkues akan dijalankan berhubung kematiannya selepas meneliti laporan siasatan polis. Sebelum itu, pada 8 Ogos, AGC mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan