AM

Enam Unit Bank Bergerak Agrobank Bantu Komuniti Luar Bandar Dapat Akses Kewangan

06/09/2025 03:24 PM

KOTA BHARU, 6 Sept (Bernama) -- Enam unit bank bergerak Agrobank yang ditempatkan di kawasan luar bandar merupakan inisiatif strategik bagi memudahkan masyarakat setempat mendapatkan akses kepada perkhidmatan kewangan ditawarkan institusi berkenaan. 

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata kesemua perkhidmatan bank bergerak itu masing-masing dua unit berada di Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata antara perkhidmatan ditawarkan menerusi inisiatif berkenaan ialah simpanan dan pengeluaran wang, pembukaan akaun simpanan, pendaftaran takaful, pembayaran bil utiliti serta khidmat nasihat pembiayaan.

"Secara umumnya, perkhidmatan ini memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar dengan populasi sekitar 5,000 hingga 10,000 penduduk. 

"Keadaan ini jelas menunjukkan betapa pentingnya inisiatif ini dalam membantu masyarakat luar bandar yang berdepan kekangan akses terhadap kemudahan perbankan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Bank Bergerak dan Kampung Angkat MADANI di Kampung Pantai Mek Mas, di sini hari ini yang dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata Agrobank sentiasa komited untuk memperkukuh peranannya dalam pembangunan luar bandar dengan matlamat utama mencapai keterangkuman kewangan dengan lebih mudah, cekap dan inklusif.

"Di Kelantan, jarak antara penempatan penduduk di kawasan pedalaman dengan cawangan perbankan terdekat boleh mencecah 30 kilometer atau kira-kira 40 minit perjalanan sehala dan kadaan ini menyukarkan mereka untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan asas.

"Inisiatif bank bergerak kami meliputi kawasan sekitar Kota Bharu, Jeli, Machang, Bachok dan Kuala Krai amat signifikan sebagai saluran utama penyediaan perkhidmatan kewangan kepada masyarakat setempat khususnya dari kawasan pedalaman," katanya.

Sementara itu, Mohamad berharap masyarakat luar bandar dapat memberikan sokongan terus kepada Agrobank kerana banyak kemudahan serta bantuan disalurkan bagi meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Pada majlis itu, Agrobank turut menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM10,000 sempena pelancaran Kampung Angkat MADANI untuk disalurkan kepada 50 keluarga terpilih di beberapa kampung termasuk Kampung Pantai Mek Mas, Kampung Pantai Kundur dan Kampung Kuala Besar.

Agrobank turut menyalurkan sumbangan zakat bernilai RM10,000 yang memberi manfaat kepada 100 pelajar asnaf dari Sekolah Kebangsaan Pulau Kundor di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan