EKONOMI

Rang Undang-Undang Kredit Pengguna Dijangka Diwartakan Akhir Tahun Ini - MOF

05/09/2025 11:39 AM

 

PUTRAJAYA, 5 Sept (Bernama) -- Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 (RUUKP) dijangka diwartakan pada akhir tahun ini dan akan memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada pengguna melalui kawal selia caj keterlaluan dan amalan kutipan hutang yang beretika.

Dalam masa yang sama, ia mewujudkan kerangka kawal selia yang konsisten untuk pemain industri kredit, sekali gus memperkukuh kepercayaan terhadap sistem kewangan negara, kata Kementerian Kewangan  dalam satu kenyataan hari ini.

Dewan Negara pada 4 Sept telah meluluskan RUUKP, sekali gus memperkukuh kawal selia terhadap industri kredit pengguna dan melindungi rakyat daripada amalan tidak adil, tidak telus serta menindas.

“Buat masa ini, enam perkhidmatan kredit pengguna masih tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak, termasuk skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL), pemfaktoran, pajakan, perkhidmatan kutipan hutang dan pengurusan hutang.

“Dengan kelulusan RUUKP, semua perkhidmatan ini akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) di bawah Fasa 1 apabila akta ini dikuatkuasakan,” kata kementerian itu.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata RUUKP akan menjadi akta induk yang diguna pakai oleh semua Pihak Berkuasa Pengawal Seliaan dan Penyeliaan (RSA) dalam memantau aktiviti kredit pengguna di bawah agensi masing-masing.

“RUUKP merupakan manifestasi reformasi berpengaruh untuk memperkukuh perlindungan pengguna dan mengatur semula landskap kredit negara.

“Kerajaan MADANI tidak memandang remeh prinsip keadilan dan keterangkuman dalam semua aspek tadbir urus demi memastikan kemaslahatan rakyat terjamin. Keyakinan terhadap institusi juga diharap dapat dipulihkan, seperti digagaskan dalam kerangka Ekonomi MADANI,” katanya dalam kenyataan itu.

RUUKP juga membuka laluan kepada penubuhan SKP, sebuah badan bebas yang akan mengawasi penyedia kredit yang sebelum ini tidak dikawal.

Selain itu, SKP mempunyai empat fungsi utama iaitu menasihati Menteri Kewangan dalam semua perkara berkaitan kredit pengguna; menasihati kerajaan dalam pembentukan dasar kebangsaan; menggalakkan perlakuan adil, profesional dan bertanggungjawab oleh pemberi kredit; serta merangsang perkembangan industri kredit pengguna yang cekap dan telus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan