AM

Perkukuh Identiti Budaya Malaysia - Johari Abdul

04/09/2025 05:16 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Kepelbagaian budaya di Malaysia wajar diperkukuh sebagai identiti nasional yang menyatukan semua rakyat, bukan sekadar dikaitkan dengan sesuatu kaum, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Beliau berkata usaha memperkukuh konsep ‘Malaysianization’ perlu digerakkan bersama bukan sahaja oleh kerajaan, tetapi juga oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

“Kita memiliki banyak budaya. Ada Cina, India, Melayu serta budaya Sabah dan Sarawak. Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah ‘Malaysianized’ budaya-budaya ini supaya ia menjadi budaya Malaysia,” katanya ketika Program Dialog Bersama Pemimpin Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini, hari ini.

Mengambil contoh tarian Singa Tiang Tinggi, Johari menjelaskan bahawa tarian berkenaan wajar diiktiraf sebagai warisan Malaysia kerana kini dipersembahkan oleh pelbagai kaum.

“Tarian singa tiang tinggi itu memang cantik dan sebenarnya bukan berasal dari China pun. Ia Malaysia punya dan sekarang sudah ada anak Melayu serta India yang memainkannya,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar lebih banyak program berbentuk pendidikan dan debat dianjurkan bagi memperkasa penguasaan bahasa, termasuk Mandarin dan Tamil, yang dilihat sebagai sebahagian daripada budaya Malaysia.

Johari menekankan kepentingan penguasaan pelbagai bahasa oleh generasi muda sebagai persediaan menghadapi masa depan yang semakin mencabar.

“Saya ingin promosikan supaya anak Malaysia boleh bercakap empat bahasa – Bahasa Melayu yang baik sebagai bahasa kebangsaan, Bahasa Inggeris yang baik sebagai bahasa antarabangsa, Bahasa Mandarin yang baik sebagai bahasa perniagaan, dan Bahasa Tamil. Kenapa tidak?” katanya.

Tambah beliau, pembelajaran bahasa dan budaya tidak wajar dipolitikkan kerana ia merupakan ilmu yang memberi manfaat kepada semua rakyat.

Katanya, ia perlu ditafsir secara dinamik, dengan pandangan luas terhadap dunia, serta bertindak pantas agar tidak ketinggalan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan