LANGKAWI, 4 Sept (Bernama) -- Kesatuan Eropah (EU) dengan kerjasama ASEAN melancarkan dua projek biodiversiti bernilai €30 juta (€1=RM4.91) bagi memperkukuh pemuliharaan alam semula jadi, meningkatkan daya tahan komuniti dan mempromosikan pembiayaan lestari.
Pesuruhjaya EU bagi Alam Sekitar, Daya Tahan Air dan Ekonomi Kitaran Berdaya Saing Jessika Roswall berkata inisiatif Hab Pembiayaan Penyelesaian Alam Semula Jadi dan Projek Pengukuhan Pemuliharaan Biodiversiti sert Daya Tahan Komuniti, mencerminkan komitmen EU untuk mempererat kerjasama dengan ASEAN dalam menangani cabaran alam sekitar rentas sempadan.
“Kerjasama ini bukan bersifat transaksi semata-mata. Ia tentang tanggungjawab bersama dan bekerjasama secara erat dengan Bank Pembangunan Asia, Pusat Biodiversiti ASEAN, kerajaan serta masyarakat awam. Inilah cara kami membina kepercayaan dan mewujudkan impak sebenar,” katanya pada EU-ASEAN Joint Side Event: Advancing Biodiversity Protection and Carbon Pricing for a Sustainable Future di sini hari ini.
Beliau berkata projek berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya merupakan kesinambungan kerjasama jangka panjang yang telah terjalin sekian lama.
“Eropah sedang memainkan peranannya. Menjelang 2030, kami menyasarkan untuk melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus daripada tanah dan laut, dengan sepertiga daripadanya akan diberi perlindungan sepenuhnya. Kami mahu memulih sekurang-kurangnya 20 peratus ekosistem yang terjejas menjelang 2030 - dan semua ekosistem yang memerlukan pemulihan menjelang 2050. Tahun lepas, Undang-undang Pemulihan Alam Semula Jadi berkuat kuasa - pertama seumpamanya di dunia.
“Kami juga bertindak mengekang kemerosotan penyerbuk, memulihkan tanah dan hutan serta menukar subsidi merosakkan kepada pelaburan yang memulihara alam. Komitmen kewangan kami jelas: sekurang-kurangnya €20 bilion setiap tahun untuk biodiversiti. Namun, Eropah tidak boleh berjaya bersendirian kerana alam tidak mengenal sempadan dan ekonomi kini lebih saling bergantung,” katanya.
Jessika berkata EU telah mengulangi komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan negara ASEAN termasuk Malaysia dalam menangani isu penebangan hutan sambil mengekalkan keseimbangan antara perlindungan alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata blok Peraturan Pembasmian Hutan EU (EUDR) yang merangkumi komoditi seperti minyak sawit sering menjadi titik pertikaian dengan ASEAN. Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia telah mengambil langkah mengagumkan dalam menangani penebangan hutan dan mempertingkatkan ketelusan rantaian yang penting untuk memenuhi keperluan EUDR.
“Kita perlu menangani penebangan hutan dan itu satu daripada sebab EU memasukkan EUDR, undang-undang penebangan hutan. Kami telah bekerjasama dengan baik dan saya juga ingin memuji Malaysia kerana mengambil langkah mengagumkan dalam menangani penebangan hutan termasuk meningkatkan ketelusan rantaian seperti diwajibkan EUDR.
“Jadi, saya berpendapat cara kita menangani isu itu adalah melalui kerjasama, baik di peringkat politik mahupun teknikal. Kami, termasuk Suruhanjaya dan negara anggota, mempunyai inisiatif untuk melibatkan pengusaha kecil, melalui sokongan kewangan serta perkongsian sistem data dan maklumat. Kerjasama ini penting dan saya yakin ia akan membuahkan hasil memberangsangkan,” katanya kepada pemberita selepas sesi berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial