IPOH, 4 Sept (Bernama) -- Sebanyak 79 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi disita kerana didapati telah digunakan tanpa kebenaran, dalam serbuan di sebuah rumah terapung di Tasik Banding, Gerik semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan pada 1.30 tengah hari itu dilakukan hasil maklumat risikan dan pemantauan anggota penguat kuasa selama seminggu di lokasi terbabit.
"Hasil serbuan menjumpai 79 tong LPG bersubsidi 12 kilogram yang digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan pemanasan air untuk perawatan ikan.
"KPDN mengambil tindakan menyita sejumlah 79 tong LPG bersubsidi dan beberapa dokumen berkaitan dengan nilai sitaan dianggarkan RM7,460," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata pemilik rumah terapung berkenaan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit.
Beliau berkata pembekal LPG terlibat turut disiasat mengikut Peraturan 9(2) PPKB 1974 kerana menjual barang kawalan berjadual kepada pihak tidak dibenarkan dan menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) PPKB 1974.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial