KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Penyelesaian tambahan bagi memperluas capaian internet berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 dijadualkan diumumkan pada suku keempat tahun ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata pelaksanaan fasa baharu melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak berikutan faktor geografi mencabar, kekangan bekalan kuasa grid serta ketiadaan jalan akses yang memerlukan penggunaan teknologi bersesuaian termasuk panel solar dan sambungan satelit.
“Pendekatan ini memerlukan penilaian dan pertimbangan kaedah pemberian perkhidmatan yang sesuai (fit-for-purpose) serta keupayaan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (Universal Service Provision Fund) untuk membiayai perbelanjaan modal dan operasi projek ini," katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Kementerian Komunikasi di Dewan Negara hari ini.
Bagi mengoptimumkan penggunaan infrastruktur sedia ada, Teo berkata MCMC akan melaksanakan peningkatan daripada empat hala kepada enam hala rangkaian teras pelbagai operator atau Multi-Operator Core Network (MOCN), selain mengkaji kesesuaian menara di bawah pelaksanaan JENDELA Fasa 1 untuk disertakan dalam rangkaian 5G di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata perbincangan menyeluruh telah diadakan bersama jabatan berkaitan, termasuk Pejabat MCMC Wilayah Sabah dan Sarawak serta penyedia rangkaian 5G, bagi membincangkan kebolehupayaan pelaksanaan seterusnya membolehkan rakyat menikmati liputan meluas dengan kadar lebih pantas.
Sementara itu, Teo memaklumkan MCMC melaksanakan audit berkala bagi memastikan pematuhan Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) dalam usaha meningkatkan kualiti liputan internet dan dari 1 Jan hingga 31 Julai tahun ini, sebanyak 2,781 ujian kualiti dijalankan di seluruh negara dengan 1,684 ketidakpatuhan dikesan melibatkan 815 lokasi.
"Sebanyak 462 ketidakpatuhan berjaya diperbaiki manakala 1,222 lagi masih dalam proses penilaian untuk pengeluaran Arahan Suruhanjaya," katanya.
Pada tahun lalu, MCMC mengeluarkan 268 Arahan Suruhanjaya melibatkan 219 lokasi di bawah subseksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, beliau berkata kerajaan turut menyediakan infrastruktur jalur lebar melalui Point of Presence (PoP) dengan kelajuan sehingga 1Gbps dan setakat 31 Ogos lepas, sebanyak 1,560 PoP daripada 3,693 tapak Fasa 2 telah siap, termasuk di Sabah (485 PoP) dan Sarawak (406 PoP).
Inisiatif Perkhidmatan Pintar melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) mencatatkan lebih 710,000 penyertaan antara September 2024 hingga Julai 2025, manakala projek SMART 600 di Sarawak menyaksikan 431 menara siap dibina dan 169 lagi masih dalam pelaksanaan.
Teo turut memaklumkan bahawa komunikasi telah diiktiraf sebagai utiliti awam sejak 2021 melalui Garis Panduan Perancangan Komunikasi (GPP-I) MCMC, bagi mengukuhkan pemasangan infrastruktur komunikasi dan merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial