SHAH ALAM, 3 Sept (Bernama) -- Polis mengesahkan remaja warga Britain David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang sebelum ini dipercayai datang ke negara ini untuk bercuti.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata perkara itu diketahui susulan visa kemasukannya menunjukkan dokumen itu akan tamat tempoh esok selepas dia masuk ke negara ini pada 7 Jun lepas.
“Berdasarkan visa ketibaan menunjukkan ada masa tiga bulan sebelum tamat tempoh dan tinggalkan Malaysia. Kita menjangkakan 4 September tarikh tamat visa … dia datang ke sini untuk bercuti.
"Insya-Allah, kalau tidak ada apa-apa (terjadi) kepada mangsa, dia akan meninggalkan negara ini dan kita dapat kesan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Shazeli berkata polis masih meneruskan usaha mengesan keberadaan remaja terbabit, antara lain dibantu oleh maklumat yang diberikan ibu mangsa serta pelbagai pihak lain.
"Kita sentiasa membuat susulan berdasarkan maklumat disalurkan pelbagai pihak, namun hingga kini, dia masih belum dijumpai," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis menyiasat kehilangan seorang remaja 17 tahun dari Britain yang dilaporkan hilang selepas secara senyap-senyap menaiki penerbangan ke Malaysia.
Balisong, seorang pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester, meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya dia mempunyai urusan di sekolah.
Sebaliknya, remaja itu seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur, dan sejak itu mematikan telefon dan tidak membalas e-mel.
Balisong bagaimanapun dilaporkan sempat menghantar e-mel pada perhubungan terakhir dengan ibunya pada 9 Julai lepas.
Antara kandungan e-mel itu ialah pesanan Balisong supaya tidak mencarinya dan bimbang akan dirinya selain mendoakan kesemua ahli keluarga berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf atas tindakannya itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial