BANGI, 3 Sept (Bernama) -- Agensi Nuklear Malaysia sedang mempertingkatkan penggunaan teknologi nuklear dalam sektor tenaga, perubatan, alam sekitar dan pelbagai bidang lain selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030.
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata perkembangan teknologi nuklear dijangka memberi impak besar bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global, seiring dengan keperluan tenaga semasa.
“Dalam sektor tenaga, perubatan dan alam sekitar, teknologi nuklear mampu memberi kesan signifikan. Sebagai contoh, di Korea, teknologi ini digunakan untuk menghasilkan radioisotop perubatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi Nuklear Malaysia (HINM) serta pratonton dan pameran teknologi (TPS) 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata pengalaman ketika negara berdepan pandemik COVID-19 menunjukkan bekalan ubat-ubatan melibatkan elemen nuklear amat terhad, sekali gus menuntut usaha lebih giat dalam pembangunan teknologi berkenaan.
“Di bawah DTNN, kita telah merangka pelan untuk memperkukuh pengeluaran isotop bagi tujuan perubatan, dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta pihak berkaitan dalam bidang nuklear,” katanya.
Bagi meningkatkan pendedahan masyarakat terhadap kepentingan serta sumbangan sains dan teknologi nuklear kepada pembangunan negara, beliau berkata Agensi Nuklear Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program pendidikan dan kempen kesedaran awam.
Terdahulu dalam ucapan perasmian, beliau berkata sehingga Julai lepas, sebanyak 506 produk di bawah Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Tempatan (MySTI) telah diluluskan oleh MOSTI untuk penandaan logo MySTI.
Produk berkenaan termasuk benih padi NMR152, beras NMR152, bioliquiffert dan bioliquidfert M100.
“Kita berharap produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi nuklear yang dipamerkan hari ini akan menyumbang kepada penghasilan lebih banyak produk dan perkhidmatan ‘Made by Malaysia’ bernilai tinggi, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia sebagai negara kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030,” katanya.
Bertemakan ‘Nuklear Untuk Rakyat’ (NUR), beliau menyifatkan tema HINM dan TPS amat signifikan kerana ia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, kelestarian, inklusiviti serta menyokong DTNN 2030.
“Melalui tema ini, kita mahu memastikan teknologi nuklear benar-benar memberi manfaat meluas kepada rakyat, sama ada dalam bidang kesihatan, makanan dan pertanian, pembangunan industri, pengurusan alam sekitar dan pendidikan generasi muda,” katanya.
Muhammad Rawi berkata HINM dan TPS menjadi platform penting bagi menyokong pencapaian DTNN 2023, memperkukuhkan aktiviti inovasi, pengkomersialan serta jalinan kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak industri.
Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Agensi Nuklear Malaysia dengan SIRIM Academy Sdn Bhd, Kemuncak Lanai Sdn Bhd, Rexaco Engineering Sdn Bhd, Beacon Hospital Sdn Bhd dan Terraagra Solution Sdn Bhd.
MoU berkenaan meliputi kerjasama strategik dalam Perkhidmatan dan Latihan Ujian Tanpa Musnah; Kajian Pasaran Perkhidmatan Kepakaran Teknologi Penilaian Loji; Penilaian Keselamatan Sinaran Tidak Mengion Frekuensi Radio dan Medan Elektromagnet Frekuensi Amat Rendah; serta Perkhidmatan Konsultasi Projek Pembangunan Model Ramalan Hasil Tuaian Padi di bawah MyHackhaton 2024.
Sementara itu, Pengarah Kanan (Program Pengkomersialan dan Perancangan Teknologi) Agensi Nuklear Malaysia Dr Nor Pa’iza Mohamad Hasan berkata teknologi nuklear merupakan satu daripada komponen sains, teknologi dan inovasi (STI) yang memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor sosioekonomi negara.
Beliau berkata kemajuan pesat teknologi nuklear serta integrasinya dengan teknologi baharu muncul seperti nanoteknologi, bioteknologi dan teknologi digital mempunyai potensi besar terhadap pembangunan sosioekonomi negara.
“Penganjuran HINM dan TPS selari dengan aspirasi DTNN 2030 yang menjadi hala tuju utama negara dalam memacu pembangunan dan aplikasi teknologi nuklear secara selamat, bertanggungjawab dan berimpak tinggi kepada rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial