JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Ditahan Lepaskan Tembakan Ketika Upacara Sembahyang

02/09/2025 08:14 PM

SHAH ALAM, 2 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki berhubung kes melepaskan tembakan ketika upacara sembahyang di sebuah kuil di Ladang Bukit Badong, Bestari Jaya di sini pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Azaharudin Tajudin berkata suspek warga tempatan berusia 55 tahun itu ditahan di sekitar Petaling Jaya kira-kira 8 malam semalam.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3.50 petang semalam selepas insiden berkenaan tular di media sosial.

“Siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar 11.30 pagi ketika penganut Hindu sedang menjalankan upacara sembahyang tahunan di kuil berkenaan, sebelum individu itu melepaskan beberapa das tembakan ke udara.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Kuala Selangor bertindak menahan suspek di Petaling Jaya bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Azaharudin berkata suspek direman selama tiga hari sehingga 4 Sept dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Ikhwan Mohd Zuki atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat IPD Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan