AM

Malaysia Komited Perkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif Dengan China - PM Anwar

02/09/2025 08:38 PM

Daripada Voon Miaw Ping

BEIJING, 2 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa hubungan Malaysia dengan China akan terus berada pada landasan yang positif dan semakin kukuh.

Perdana Menteri berkata Malaysia menghargai hubungan kukuh dengan China, dan mengulangi komitmen untuk mempererat hubungan dua hala pada masa hadapan.

“Kami ingin memastikan segala yang telah dipersetujui dapat dilaksanakan dengan segera kerana saya mahu hubungan strategik, komprehensif ini benar-benar mencapai kejayaan,” kata Anwar kepada Presiden China Xi Jinping.

Anwar berkata demikian semasa mengadakan kunjungan hormat terhadap Xi di Great Hall of the People di sini pada Selasa.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan. 

Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Xi atas undangan menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus di Tianjin pada Isnin.

“Bagi saya secara peribadi, sudah tentu satu penghormatan besar apabila diberikan peluang untuk turut serta dalam perbincangan SCO, yang amat penting bagi kita,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri China Li Qiang. Li kemudian menganjurkan majlis makan malam khas bagi meraikan Anwar di Rumah Tamu Negara Diaoyutai.

Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974. Pada 2013, hubungan itu dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif yang terus diperkukuh dalam pelbagai bidang seperti politik, perdagangan, pendidikan, sosial dan kebudayaan.

China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan perdagangan dua hala bernilai RM484.12 bilion pada 2024 yang mewakili 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia (RM2.879 trilion).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan