AM

Projek RKAT Markas Angkatan Bersama Di Kuantan Siap Julai 2026

02/09/2025 07:49 PM

KUANTAN, 2 Sept (Bernama) -- Projek pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Markas Angkatan Bersama, Sungai Pancing di sini yang melibatkan kos RM197.98 juta dijangka siap pada Julai 2026. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek dimulakan pada 27 Ogos 2021 kini mencatatkan kemajuan 50.10 peratus. 

Beliau berkata projek itu pada mulanya dijadualkan siap pada 23 Jan 2025, kini dilanjutkan sehingga 17 Julai 2026 bagi memastikan semua skop kerja siap dengan sempurna.

“Mereka (kontraktor) yakin dapat siap Julai tahun depan kerana (pembinaan) menggunakan kaedah IBS (Sistem Binaan Berindustri) yang boleh dibuat dengan cepat,” katanya kepada pemberita di tapak projek itu hari ini. 

Projek RKAT itu merangkumi pelbagai jenis kediaman termasuk banglo, rumah berkembar serta pangsapuri pelbagai kelas dengan keseluruhan lebih 280 unit kediaman, selain kemudahan seperti padang bola, taman permainan, taska dan tadika.

Pada perkembangan lain, beliau memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang mengenai projek yang akan diutamakan dan diperhalusi dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) antaranya projek jalan baharu.  

Terdahulu, Nanta meninjau kerja pembaikan di Jalan Sungai Lembing (FT231) iaitu laluan utama menghubungkan bandar Kuantan dan pekan Sungai Lembing serta akses ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT) melalui Plaza Tol Kuantan yang telah mencapai kemajuan 60 peratus dengan jangkaan siap pada 30 Sept. 

“Saya telah mengingatkan kontraktor agar menyiapkan kerja mengikut jadual tanpa kompromi terhadap aspek kualiti dan keselamatan,” katanya dan menambah laluan itu penting bagi penduduk setempat, pelancong serta pengguna lebuh raya. 

Nanta berkata sebelum ini, jalan itu rosak teruk akibat kesan air bawah tanah yang menjejaskan kestabilan struktur jalan sehingga menyebabkan air bergenang, pembentukan lubang di permukaan serta kelemahan struktur yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.

Selain itu, beliau turut turun padang melihat perancangan Projek Membina Persimpangan Bertingkat Panching di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (FT02) di sini bernilai RM160 juta yang kini pada peringkat perolehan.

Skop projek itu antaranya melibatkan pembinaan persimpangan bertingkat sepanjang 300 meter, menaik taraf dan membaik pulih jalan sedia ada serta pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat baharu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan