KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) menggesa pemain-pemain perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) negara untuk menjadikan kepakaran yang telah terbukti sebagai kelebihan pada masa hadapan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Yazid Ja’afar berkata ekosistem OGSE Malaysia dibina berasaskan kepakaran di laut dalam selama berdekad-dekad, kejuruteraan yang bertaraf dunia dan kandungan tempatan yang kukuh.
“Rekod pencapaian ini menjadikan Malaysia rakan yang diyakini di pentas dunia. Tugas sekarang adalah menjadikan aset-aset itu sebagai kelebihan pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan khas pada majlis pembukaan Oil and Gas Asia (OGA) 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi Informa Markets Malaysia Tan Sri Abdul Rahman Mamat dan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petronas Datuk Adif Zulkifli.
Pada acara itu, Mohd Yazid menyampaikan tiga pesanan penting yang ditujukan kepada syarikat-syarikat OGSE, pelabur dan penggubal dasar.
Menurut beliau, syarikat OGSE mesti melangkaui sekadar memenuhi keperluan projek hari ini dan bersedia untuk “menangkap pasaran masa depan dalam teknologi rendah karbon, penyelesaian digital dan perkhidmatan yang mampan.”
“Dalam hal ini, MPRC sedang membimbing syarikat ke dalam bidang seperti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan solar terapung hidro hibrid yang merupakan sebahagian daripada projek utama Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Penyertaan Malaysia dalam segmen-segmen ini akan banyak bergantung kepada kepakaran kejuruteraan dan perkhidmatan yang terdapat dalam pangkalan OGSE kita,” katanya.
Mohd Yazid turut menyeru pelabur dan rakan kongsi antarabangsa untuk memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN.
“Firma-firma Malaysia membawa pengalaman teknikal yang terbukti, daya saing kos dan kesediaan untuk bekerjasama. Berinteraksi dengan mereka di acara ini (OGA 2025) — menandatangani memorandum persefahaman, meneroka usaha sama dan mengenal pasti projek di mana keupayaan Malaysia dapat menggandakan kejayaan anda,” tambah beliau.
Bagi penggubal dasar dan pelanggan OGSE, Mohd Yazid menggesa mereka untuk terus bekerjasama bagi menyelaraskan perolehan, pembiayaan dan insentif bagi menghargai inovasi, kemampanan dan keupayaan tempatan.
“Apabila kerajaan, industri dan pihak pembiaya bergerak ke arah yang sama, peralihan akan menjadi semakin pantas dan pulangannya lebih bermanfaat untuk semua,” katanya.
Beliau menambah MPRC, sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi bersedia memainkan peranannya, terutama dalam merapatkan hubungan antara kerajaan dan sektor swasta.
Beliau menekankan bahawa Kajian Separuh Penggal Pelan Tindakan OGSE yang dilancarkan awal tahun ini, meletakkan industri untuk selaras dengan NETR, termasuk projek-projek utama seperti CCUS dan solar terapung hidro hibrid yang akan banyak bergantung kepada keupayaan OGSE.
Dianjurkan oleh Informa Markets Malaysia, OGA 2025 membuka edisinya yang ke-21 hari ini, menarik pemimpin industri, syarikat dan profesional yang bersemangat untuk meraih peluang-peluang baharu dalam landskap tenaga yang pesat berkembang di rantau ini.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), acara ini membawa tema “Powering Progress, Shaping Tomorrow”, ketika rantau ini berusaha memperkukuh integrasi ekonomi dengan tenaga sebagai tonggak utama di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial