AM

TTP Lahir Pelapis Seni Tenun Tradisional

02/09/2025 01:14 PM

KOTA BHARU, 2 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan The Textile Project (TTP) oleh Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) melahirkan pelapis dalam kalangan generasi muda bagi memastikan seni tenun tradisional terus terpelihara dan tidak pupus ditelan zaman.

Pengarah Projek Ariza Mohd Yusoff berkata program berasaskan komuniti yang mendapat sokongan Yayasan Hasanah itu juga bertujuan melahirkan perantis mahir dalam seni kraf termasuk sulaman kelingkan dan tenunan songket.

“Kita memulakan projek pada April dengan kursus sulaman kelingkan. Sesi pertama berakhir pada Julai dengan 20 pelajar berjaya menguasai kemahiran menghasilkan seni sulaman tradisional itu selepas kursus intensif tiga bulan.

“Mereka bukan sahaja mampu menghasilkan sulaman kelingkan, malah ada yang meraih pendapatan sehingga RM3,000 bagi sehelai selendang,” katanya kepada Bernama semasa ditemui pada Festival Tekstil dan Warisan Melayu Kelantan di Istana Balai Besar di sini hari ini. 

Ariza yang juga Bendahari MCC berkata pelaksanaan TTP mengambil tempoh 18 bulan dengan empat sesi pengambilan pelajar.

Pengambilan kedua pada hujung bulan ini, memberi tumpuan kepada tenunan songket.

“Kami menyasarkan penyertaan 20 individu dan setakat ini, tujuh peserta telah mendaftar. Kami berharap lebih ramai menyertai kursus ini kerana ditawarkan secara percuma.

“Mereka tidak perlu bimbang jika tiada asas atau kemahiran kerana kita memberi tunjuk ajar menyeluruh. Pihak kami juga akan membantu mendapatkan geran dan mempromosikan hasil seni mereka ke pasaran,” katanya.

Ariza berkata inisiatif itu memperkukuh sektor tekstil dan membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat khususnya wanita serta penggiat seni tekstil tradisional.

Mereka yang berminat mesti warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas dan boleh memberi komitmen sepenuhnya sepanjang tempoh kursus.

Maklumat lanjut di Facebook dan Instagram MCC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan