Daripada Voon Miaw Ping
TIANJIN (China), 1 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara-negara Asia merintis pendekatan kesalingbergantungan berdaulat bagi memupuk kestabilan dan keamanan global serta membina masa depan bersama yang lebih teguh.
Anwar berkata kekuatan Asia terletak pada keupayaan mempertahankan kedaulatan masing-masing sambil kekal terbuka antara satu sama lain.
Beliau mengingatkan bahawa walaupun globalisasi telah menimbulkan ketidakpuasan hati dan ketidaksamaan, kelemahannya itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewujudkan blok eksklusif atau benteng ekonomi.
Beliau mengingatkan pendekatan sedemikian hanya akan meningkatkan perpecahan dan risiko ekonomi yang tidak berkembang.
“Malaysia mencadangkan satu pendekatan berbeza: pendekatan kesalingkebergantungan berdaulat - seni berdiri dengan kebanggaan dan keyakinan tanpa perlu berdiri secara terasing.
“Ia adalah keyakinan bahawa sesebuah negara boleh kekal dengan identiti penuh mereka sendiri - berdaulat dalam pilihan, suara dan takdir - sambil terus terbuka kepada aliran perdagangan dan pelaburan, bakat dan teknologi, yang menjadi asas kemakmuran,” katanya dalam syarahan awam di Universiti Tianjin di sini, pada Isnin.
Perdana Menteri menegaskan bahawa kemerdekaan dan kesalingbergantungan perlu dilihat sebagai pelengkap, bukannya bertentangan.
Merujuk kepada konsep “kesalingbergantungan kompleks” dalam ekonomi politik, beliau berkata dunia hari ini memerlukan satu pendekatan lebih jauh iaitu merangka kebergantungan yang memperkukuh kedaulatan, bukan melemahkannya.
Kesalingbergantungan tidak seharusnya menjadikan negara bimbang autonomi mereka akan terhakis. Sebaliknya, ia harus memberi keyakinan bahawa dengan saling berhubung, daya tahan mereka akan berlipat kali ganda,” katanya.
Beliau turut menyingkap sejarah pelayaran Laksamana China, Zheng He yang menghubungkan Melaka dengan Afrika dan Arab berabad-abad lampau membawa hadiah dan pertukaran tanpa penaklukan atau penguasaan.
Tradisi keterbukaan ini, katanya, mencerminkan satu model libat urus yang tersendiri bagi Asia.
Anwar menegaskan Asia sebagai sebuah komuniti berbilang bangsa mempunyai tanggungjawab istimewa membentuk bab baharu dalam orde global memandangkan rantau ini kini menjadi enjin pertumbuhan sejagat, menempatkan sebahagian besar golongan muda dunia, serta menjadi pusat kemajuan teknologi dinamik.
“Sudah terlalu lama perbahasan tentang ekonomi dunia dibentuk dalam konteks rentas-Atlantik. Kita bukan sekadar objek dalam strategi orang lain. Kita adalah pengarang kepada takdir kita sendiri.
“Kita mesti menolak godaan untuk percaya bahawa dunia tiada pilihan lain selain berpecah kepada blok. Perpecahan bukanlah takdir. Kita boleh memilih kerjasama berbanding paksaan, jambatan berbanding halangan.
Kita boleh memilih kesalingbergantungan berdaulat,” katanya.
Beliau berkata di bawah kepengerusian Malaysia, ASEAN telah mengangkat tema keterangkuman dan kemampanan sebagai tema panduan.
Anwar berkata China turut memainkan peranan unik sebagai kuasa tamadun yang pilihannya akan membentuk keterbukaan, kestabilan dan keterangkuman rantau ini.
“Rantau ini melihat ke arah Beijing bukan sahaja untuk kedinamikan ekonomi tetapi juga bagi jaminan bahawa masa depan Asia akan terbuka, stabil dan menghormati sepenuhnya kepelbagaian,” katanya.
Pada masa sama, kuasa pertengahan seperti Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk bertindak sebagai jambatan dan mengingatkan kuasa besar bahawa mengawal diri dan ketimbalbalikan adalah tunjang keamanan.
“Masa depan Asia akan terletak pada kestabilan - keyakinan untuk bertindak tanpa tergesa-gesa, serta kesabaran memberi setiap negara ruang yang diperlukan untuk merasa selamat.
Jika kita berpegang teguh kepada semangat itu, Asia boleh melangkah ke hadapan dengan bermaruah, yakin dengan kedudukannya di dunia,” katanya.
Syarahan bertajuk “Kesalingbergantungan Berdaulat: Membina Masa Depan Bersama di Asia” itu merupakan sebahagian daripada penglibatan beliau bersama mahasiswa dan ahli akademik universiti berkenaan sempena lawatan kerja empat hari ke Tianjin dan Beijing bermula 31 Ogos.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial