GEORGE TOWN, 1 Sept (Bernama) -- Seorang kerani di sebuah pejabat insurans kerugian lebih RM600,000, selepas ditipu sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata kejadian bermula selepas wanita berusia 61 itu, menerima panggilan daripada seorang individu mengaku sebagai pegawai bank memaklumkan ada individu telah menggunakan kad kredit atas namanya.
“Mangsa menafikan perkara tersebut dan panggilan terus disambungkan kepada seorang individu memperkenalkan diri sebagai pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
“Pegawai polis tersebut meminta butiran diri mangsa untuk disemak dan selepas itu suspek memberitahu mangsa bahawa dirinya terlibat dengan kes pengubahan wang haram serta meminta semua maklumat akaun mangsa yang masih aktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat pemindahan wang ke beberapa akaun bank yang diberikan kononnya untuk tujuan siasatan.
Azizee berkata sepanjang tempoh 14 hingga 28 Ogos lepas, mangsa telah membuat sebanyak 14 transaksi pindahan wang ke empat akaun bank tempatan berbeza berjumlah keseluruhan RM601,850.
Beliau berkata mangsa menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada anak perempuannya, sebelum tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial