KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Moody’s Analytics menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus menerusi mesyuarat dasar monetari Khamis ini.
Menerusi nota penyelidikan “Asia Pacific Weekly Highlights and Preview” pada Jumaat lepas, Moody’s Analytics menjelaskan bank pusat itu telah membuat pengurangan OPR sebanyak 25 mata asas pada Julai sebagai langkah awal dalam menghadapi persekitaran luaran yang semakin tidak menentu.
“Sejak itu, angka pengeluaran industri dan eksport menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding jangkaan.
“Kemungkinan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada September serta kadar inflasi utama yang rendah boleh mewujudkan ruang untuk BNM melonggarkan dasar monetari sekiranya keadaan luaran semakin buruk,” tambahnya.
Pada 9 Julai, BNM mengumumkan kadar siling dan lantai bagi koridor OPR masing-masing diturunkan kepada tiga peratus dan 2.5 peratus susulan pengurangan kadar tersebut.
Kali terakhir BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus adalah pada Mac 2023.
OPR kemudiannya dinaikkan kepada tiga peratus pada Mei 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial