JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Ditahan Cuba Serang Sultan Nazrin Semasa Sambutan Hari Kebangsaan - Polis

31/08/2025 01:01 PM

IPOH, 31 Ogos (Bernama) --  Polis menahan seorang wanita tempatan yang cuba menyerang Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di atas pentas utama ketika sambutan rasmi Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di sini hari ini. 

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata wanita yang mempunyai rekod rawatan psikiatri itu ditahan pengawal keselamatan bertugas selepas masuk melalui tepi pentas ketika lagu kebesaran negeri Perak berkumandang.

"Siasatan awal juga mendapati wanita berusia 41 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, namun ujian air kencing hari ini mendapati suspek negatif dadah. 

"Suspek juga mempunyai rekod rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah rawatan pakar," katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah. 

Terdahulu, ketika Sultan Nazrin sedang memberikan tabik hormat, seorang wanita meluru dari barisan belakang tetamu di atas pentas utama dan menyentap tangan baginda sebelum ditahan oleh pengawal keselamatan serta dibawa keluar.

Sultan Nazrin kemudian meneruskan upacara berkenaan. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan