PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya, di sini.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pada 8 pagi yang membuat kejutan dengan memandu sendiri kereta Proton Satria Neo bernombor pendaftaran WWW1 berwarna biru itu disambut dengan sorakan dan tepukan oleh pengunjung yang hadir memenuhi kawasan acara sejak malam semalam.
Proton Satria Neo ialah kereta hatchback (hacbek) kompak yang dikeluarkan oleh Proton antara tahun 2006 hingga 2015.
Ia mengguna pakai enjin CamPro berkapasiti 1.3 hingga 1.6 liter dengan teknologi Cam Profile Switching (CPS) untuk varian yang lebih berkuasa.
Ketibaan Seri Paduka Baginda di pentas diraja disambut oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 serta isteri Datin Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin.
Tiupan nafiri turut bergema di Dataran Putrajaya sebelum lagu Hormat Diraja dan Negaraku dimainkan oleh pancaragam Kawalan Kehormatan Utama.
Ia disusuli terbang lintas lima pesawat helikopter yang menghiasi Jalur Gemilang di ruang udara Putrajaya serta bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sultan Ibrahim turut berkenan memeriksa perbarisan serta menerima Tabik Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan Utama (KKU) oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan kekuatan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Kem Perdana Sungai Besi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial