AM

Let’s Talk CX: CASB Himpun Pemimpin Industri, Bentuk Masa Hadapan Pengalaman Pelanggan Malaysia

28/08/2025 09:38 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Commerce Access Sdn Bhd (CASB), sebuah penyedia pengalaman pelanggan (CX) yang dipercayai, memainkan peranan utama mereka sebagai rakan kongsi forum dalam acara Let’s Talk CX - The Future of Intelligent Customer Engagement, dengan menyatukan pengamal CX dari pelbagai industri untuk perkongsian amalan terbaik.

Forum anjuran sebuah syarikat utiliti awam terkemuka itu menghimpunkan lebih 100 profesional berpengalaman, termasuk pemimpin tempatan dan antarabangsa daripada DHL Express, Malaysia Aviation Group (MAG) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), dengan panduan strategik daripada Persatuan Pusat Panggilan Malaysia (CCAM).

CASB dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa forum itu membolehkan peserta bertukar pandangan serta meneroka bagaimana pemerkasaan sumber manusia, proses yang diperkemas dan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), analitik dan platform omnisaluran, sedang mengubah landskap penglibatan pelanggan dengan menyatukan pelbagai industri di bawah satu platform.

“Perkongsian daripada DHL Express, MAG dan TNB, menghubungkan landskap perkhidmatan Malaysia dengan amalan terbaik antarabangsa, sekali gus menunjukkan bagaimana strategi terbukti daripada industri berimpak tinggi boleh disesuaikan untuk memperkukuh pengalaman pelanggan merentas sektor, termasuk perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.

Naib Presiden CASB Afidah Kamaruddin berkata pihaknya berbangga kerana dapat memainkan peranan penting dalam menyatukan pengamal CX daripada pelbagai industri, untuk berkongsi amalan terbaik dan memperkasakan ekosistem pusat panggilan di Malaysia.

“Sebagai penyedia pusat panggilan kepada sebuah syarikat utiliti awam terkemuka, kami telah menyaksikan sendiri bagaimana kerjasama rentas sektor, mampu menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan perkhidmatan.

“Dengan menghimpunkan pengawal selia, pengendali negeri, syarikat global dan peneraju teknologi, forum ini telah mewujudkan satu platform berkuasa untuk tindakan kolektif demi memajukan pengalaman pelanggan di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pusat Panggilan Malaysia (CCAM) S. Vigneswaran turut menekankan kepentingan inisiatif seperti ini dalam membentuk masa depan industri.

“Pengalaman pelanggan kini telah menjadi strategi perniagaan utama yang mendorong pertumbuhan dan transformasi. Kerjasama seperti ini penting untuk memprofesionalkan industri, memperkasakan barisan hadapan dan mendakap inovasi,” katanya.

Berpandukan kepimpinan ini, CASB memanfaatkan lebih 15 tahun kepakaran dalam mengurus program berskala besar dan berimpak tinggi dalam sektor kerajaan dan korporat, yang menyokong jutaan interaksi pelanggan setiap tahun, bagi memastikan forum ini menumpukan kepada usaha meningkatkan piawaian perkhidmatan negara.

Diiktiraf atas kepimpinan industrinya, CASB turut disenarai pendek oleh CCAM untuk mewakili Malaysia ke Anugerah Serantau CC-APAC 2025 di Hong Kong bagi kategori Best Contact Centre Operations, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam landskap pengalaman pelanggan serantau.

“Seterusnya, CASB berhasrat untuk meneruskan momentum ini dalam perjalanan nasional yang lebih luas, dengan menjadikan kecemerlangan pengalaman pelanggan sebagai piawaian yang memperkukuh kepercayaan, mendorong inovasi dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam penglibatan pelanggan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan