KLUANG, 28 Ogos (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyatakan kesediaan untuk menerima bekas banduan yang dibebaskan melalui program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) bagi menyertai pasukan itu sebagai sukarelawan.
Komandan Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS) Kluang Leftenan Kolonel (PA) Amir Sarifudin Zalman berkata selaras dengan moto APM, iaitu ‘Dari Masyarakat Kepada Masyarakat’, langkah itu dilihat mampu membantu bekas banduan menjauhi aktiviti negatif sekali gus membina semula kehidupan mereka.
Beliau berkata bagaimanapun pihaknya kini sedang meneliti cadangan berkenaan terutamanya berkaitan kriteria yang bersesuaian untuk menerima kemasukan bekas banduan.
“Perkara ini akan dibincangkan di peringkat pusat dan akan dipanjangkan kepada pihak kerajaan untuk kelulusan kerana melibatkan pembayaran elaun tugasan kepada anggota sukarelawan APM.
“Dengan cara ini, semua prospek akan mempunyai pekerjaan melalui unit beruniform dalam agensi kerajaan dan akan menjadi kebanggaan keluarga masing-masing,” katanya selepas Majlis PBSL Ihsan MADANI sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Penjara Kluang Timbalan Komisioner Penjara Muhammad Nazri Nasrudin berkata sebanyak 4,345 prospek di penjara berkenaan telah dibebaskan sejak PBSL diperkenalkan pada 2021.
Beliau berkata pada hari ini, sebanyak 35 banduan lelaki dan enam wanita telah dipilih untuk dibebaskan menerusi inisiatif itu, merangkumi mereka yang menjalani hukuman kurang daripada tiga tahun.
“Mereka ini akan meneruskan proses pemulihan melalui Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah pemantauan dan bimbingan berterusan Pegawai Parol Daerah (PPD).
“Pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan mereka meneruskan kehidupan yang terarah, berdisiplin serta bermaruah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial