KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Veteran UMNO Malaysia meyakini keperluan serta niat baik kerajaan dalam melaksanakan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 bagi memperbaik kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat.
Pengerusinya Datuk Othman Desa berkata pihaknya tidak membantah RUU itu dan yakin ia dicadangkan supaya rakyat dapat menikmati kediaman lebih selesa.
Beliau bagaimanapun berpendapat supaya sebarang saranan penambahbaikan RUU itu turut dipertimbangkan secara teliti, khususnya dari sudut geopolitik, pemilikan aset dan keseimbangan demografi bandar.
“Penelitian ini penting kerana kita tidak mahu kebimbangan terhadap RUU ini dijadikan isu oleh pihak parti pembangkang untuk dipolemikkan sedangkan kami meyakini akan keperluan serta niat baik kerajaan dalam membentangkan RUU tersebut,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini semasa menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu) mengenai RUU PSB di Dewan Rakyat hari ini berkata RUU tersebut perlu dilaksanakan bagi memberikan ruang kepada projek pembinaan semula kediaman yang lebih selesa untuk kesejahteraan rakyat.
Anwar dilaporkan berkata isu perumahan rakyat sangat dekat dengan beliau dan kerajaan tidak boleh mengetepikan isu berkenaan terutama apabila negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi menggalakkan selain menyelar sikap segelintir pihak yang cuba mewujudkan persepsi negatif melibatkan kaum.
Dalam pada itu, Othman berkata pihaknya menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara agar menyegerakan pendakwaan terhadap mereka yang tidak menghormati dan memasang Jalur Gemilang dengan tidak sewajarnya sama ada secara sengaja atau cuai.
"Veteran memandang berat trend memasang Jalur Gemilang secara terbalik atau memperlekehkan simbol negara. Veteran menyeru semua pihak menghormati lambang kedaulatan negara khususnya dalam suasana menyambut Hari Kebangsaan ke-68.
"Veteran memberi amaran agar isu bendera tidak dijadikan alasan untuk mencetuskan provokasi kaum atau agama. Tindakan tegas dan segera perlu diambil untuk menyekat penyebaran sentimen negatif ini dan ini adalah demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kewibawaan undang-undang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial