Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Ringgit memulakan urus niaga hari ini dengan mendatar atau tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika pelabur terus menunggu pemangkin baharu menjelang pengumuman data inflasi negara maju itu.
Pada 8 pagi, ringgit kekal pada 4.2335/2365 berbanding dolar AS yang menyamai paras semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka bergerak dalam julat 4.22 hingga 4.24 hari ini, didorong oleh kemungkinan berlakunya aktiviti pengambilan untung ketika peniaga bimbang dengan data laporan perbelanjaan penggunaan AS yang diumumkan esok.
“Pengerusi Bank Rizab Persekutuan Richmond Tom Barkin berkongsi jangkaan berlakunya pelarasan kadar faedah yang sederhana dalam mesyuarat akan datang,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, sesi awal urus niaga juga menyaksikan ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ini termasuk susut berbanding euro kepada 4.9312/9347 daripada 4.9058/9093 pada Rabu, turun berbanding yen Jepun kepada 2.8737/8759 daripada 2.8591/8611 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.7169/7210 daripada 5.6890/6930.
Unit tempatan itu juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain, termasuk susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2940/2966 daripada 3.2843/2869 semalam dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.0631/0784 daripada 13.0330/0474.
Ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina dan rupiah Indonesia iaitu masing-masing pada 7.40/7.41 dan 258.6/258.9.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial