JENAYAH & MAHKAMAH

Penagih Terpaksa Serah Anak Kepada Orang Lain Kerana Tak Mampu Sara Keluarga

27/08/2025 07:52 PM

KOTA BHARU, 27 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki yang terperangkap dalam kitaran penagihan dadah terpaksa menyerahkan anak ketiganya sejak lahir kepada orang lain dek kerana tiada kemampuan untuk menyara keluarganya.

Man, 39, bukan nama sebenar, yang memiliki empat anak perempuan berusia 12, sembilan, enam dan setahun lebih, berkata dia terpaksa mengambil keputusan pahit itu disebabkan keadaan kewangan serta pergantungannya terhadap pil kuda.

Dia mula mengambil pil kuda selepas tamat sekolah dan bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu.

“Saya ambil pil kuda sebab penat bekerja... untuk hilang letih dan badan berasa kuat… tapi keadaan tak mengizinkan saya untuk jaga anak ketiga kerana tiada duit dan pendapatan pun tidak menentu.

“Anak perempuan saya yang kini berusia enam tahun dijaga oleh orang lain sejak lahir kerana saya tidak mampu menanggung bil hospital dan keperluan harian anak,” katanya kepada pemberita selepas Ops Perdana Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan di sini hari ini.

Lelaki itu juga mengakui terpaksa meminjam daripada pengedar dadah bagi menampung keperluan dirinya.

“Selepas bayar rumah sewa, makan pun kadang-kadang tak menentu…saya sedih... memang ada rasa bersalah terhadap anak,” katanya.

Man juga berkata isterinya sebelum ini banyak menasihati dia agar berhenti mengambil dadah namun lelaki itu mengakui ketagihan mengatasi kemampuan untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Ops Perdana AADK turut menahan empat beradik yang bekerja sebagai buruh serta abang ipar mereka selepas dipercayai menagih pil kuda sejak beberapa tahun lepas di sebuah rumah di Pasir Mas.

Mereka berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun dan rumah itu dihuni lebih 20 individu daripada tiga keluarga termasuk seorang bayi berumur 10 minggu.

Ayie, 30-an, juga bukan nama sebenar, antara yang ditahan berkata mereka mengambil dua hingga tiga pil kuda sehari dan sudah lama terjebak dengan dadah itu.

“Ada yang bermula empat tahun lepas... ada pula sejak enam tahun lepas... dalam keluarga saya ada 12 beradik dan empat daripada kami mula berjinak-jinak dengan pil kuda sejak beberapa tahun lepas.

“Dadah ini mudah diperoleh dengan harga sekitar RM5 sebiji... selain itu, ramai pengedar yang membekalkannya,” katanya.

Terdahulu, AADK Kelantan menahan 161 individu di daerah Bachok, Pasir Mas, Kuala Krai dan Kota Bharu yang dikenal pasti mempunyai kadar penagihan tinggi dalam operasi empat hari bermula 24 Ogos itu.

Daripada jumlah itu, seramai 157 individu berusia antara 19 hingga 61 tahun positif dadah membabitkan 155 lelaki dan dua wanita dengan enam dikesan melanggar syarat rawatan pemulihan komuniti manakala empat bukan warganegara diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan